ZUKRI (tengah) dan Dr Musa (kiri) bersama siswa terbaik Muhd Sirajul Fikri pada Majlis Graduasi Program Pensijilan USIM-BIMB 2016.
ZUKRI (tengah) dan Dr Musa (kiri) bersama siswa terbaik Muhd Sirajul Fikri pada Majlis Graduasi Program Pensijilan USIM-BIMB 2016.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menganjurkan Program Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB kepada kakitangan Bank Islam bertujuan memperkasakan hubungan strategik industri dan universiti.

Program itu menjadi platform bagi merapatkan hubungan antara USIM dan BIMB selaku institusi pendidikan dan kewangan yang berteraskan Islam di negara ini.

Seramai 40 graduan daripada kohot (ambilan) satu dan dua program khas diraikan apabila masing-masing menerima sijil sempena Majlis Graduasi Program Pensijilan USIM-BIMB 2016.

Majlis berlangsung di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dihadiri Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat, Naib Canselor USIM Profesor Datuk Dr Musa Ahmad dan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Profesor Madya Dr Noor Azizi Ismail.

Menurut Dr Musa, program itu perkongsian pintar antara dua pihak dan sudah bermula sejak Jun tahun lalu.

“Program Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB dijalankan bermula Jun 2015

“Melalui program ini, terdapat empat kohot siswa yang terbabit dengan setiap kohot diwakili 20 siswa. Pihak universiti mengalu-alukan penyertaan siswa daripada kohot 3 dan 4 yang baru menyertai program ini pada Januari lalu.

“Pihak USIM berterima kasih kepada BIMB terhadap kerjasama dan kepercayaan kepada USIM untuk melaksanakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Zukri berkata matlamat utama program berkenaan untuk meningkatkan profesionalisme kakitangan BIMB daripada aspek bahasa Ing­geris, pengurusan dan sebagainya.

“Di peringkat USIM, BIMB bekerjasama dengan FPBU yang mempunyai kemampuan melaksanakan kursus yang kita kehendaki.

“Objektif ini sejajar dengan agenda penting bagi BIMB iaitu “Membina Kumpulan Bakat Dalaman” dalam memupuk budaya prestasi tinggi dan produktiviti cemerlang,” katanya.

Pada majlis yang sama, lima graduan terpilih menerima anugerah khas daripada Pengarah Urusan Bank Islam kerana pencapaian cemerlang dalam akademik sepanjang mengikuti kursus itu.

Kakitangan Bahagian Operasi Cawangan Bank Islam (Ibu Pejabat) Muhd Sirajul Fikri Salleh dipilih siswa terbaik keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 5:38 AM