AHLI misi bantuan beramah mesra dengan kanak-kanak di kem pelarian.
AHLI misi bantuan beramah mesra dengan kanak-kanak di kem pelarian.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan dari Fakulti Sains dan Teknologi selamat kembali ke tanah air selepas menjayakan misi kemanusian untuk pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Lubnan, dua minggu lalu.

Kumpulan yang terdiri daripada 11 siswa tahun akhir itu membabitkan diri dalam program Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM bermula 29 Januari hingga 4 Februari lalu.

Kunjungan ke Syria yang mengambil masa lima hari itu bertujuan menyampaikan sumbangan kemanusiaan kepada pelarian di sana hasil sumbangan rakyat negara ini yang prihatin.

Sumbangan berjumlah hampir RM 100,000 itu diagihkan kepada empat lokasi kem pelarian yang diziarahi GISO USIM, di Ketermaya (satu kem) dan Biqaa (tiga kem).

Selain berkunjung ke kawasan berkenaan, siswa turut singgah di penempatan pelarian Syria yang miskin seperti di kawasan Alitahfich dan pusat jagaan anak yatim serta miskin.

Misi kemanusian GISO USIM di Lubnan kali ini turut memberi perhatian kepada aspek bantuan pendidikan kepada kanak-kanak.

Antara usaha yang dijalankan termasuk mengunjungi sebuah sekolah yang menempatkan kira-kira 300 pelajar dengan 50 peratus daripadanya pelarian Syria.

Kumpulan berkenaan turut mengambil peluang melawat dua universiti iaitu Aljinan University dan Arts, Science and Technology University.

Antara sumbangan yang disalurkan di kem pelarian berbentuk keperluan harian seperti selimut, barang makanan asas, pakaian tidur tebal, baju musim sejuk, mesin basuh, alat tulis dan permainan untuk kanak-kanak selain kerosin untuk kegunaan alat pemanas.

Rombongan GISO USIM turut menyalurkan sumbangan kewangan kepada perpustakaan sekolah ­bernilai RM4,169.10 (AS$ 1,000) dan keperluan perubatan RM 20,845.50 (AS$ 5,000).

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Profesor Dr Norita Md Norwawi yang turut serta dalam misi kemanusiaan berkenaan melahirkan rasa syukur kerana ia berjalan lancar.

“Misi bantuan kemanusiaan untuk membawa bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria di Lubnan pada awalnya dirancang tahun lalu, tapi ditunda atas beberapa perubahan saat akhir.

“Sukar diungkapkan dengan perkataan di atas pengalaman mahal dan pengiring program ini. Semoga usaha kembara ini diberkati Allah,” katanya.

Penganjuran program misi bantuan itu turut mendapat kerjasama Malaysia Life Line for Syria, Global Peace Mission Malaysia dan ABIM.

GISO USIM yang diperkenalkan pada tahun 2011 memfokuskan kepada pengisian libat sama komuniti (community engagement) yang membabitkan pemindahan dan perkongsian ilmu antara siswa USIM dengan komuniti Islam di luar negara.

Sebanyak 112 pengembaraan GISO sudah dilaksanakan hingga tahun 2015 membabitkan 2,233 pelajar menjangkaui 18 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 5:32 AM