SEORANG wanita berjalan menyeberangi jambatan diselaputi air batu di Oymyakon.
SEORANG wanita berjalan menyeberangi jambatan diselaputi air batu di Oymyakon.
PEMANDANGAN perkampungan Oymyakon pada awal pagi dengan kepulan asap dari loji pemanasan. Kebanyakan penduduknya masih membakar arang batu dan kayu untuk memanaskan kediaman.
PEMANDANGAN perkampungan Oymyakon pada awal pagi dengan kepulan asap dari loji pemanasan. Kebanyakan penduduknya masih membakar arang batu dan kayu untuk memanaskan kediaman.

Perkampungan Oymyakon di Siberia, Russia, sememangnya terkenal sebagai tempat paling sejuk dihuni manusia di dunia.

Bayangkan betapa sejuknya di situ sehingga penduduknya sudah biasa makan daging beku, membiarkan enjin kereta hidup 24 jam setiap hari, malah terpaksa membakar unggun api untuk memanaskan tanah beberapa hari sebelum mengebumikan mayat.

Mungkin tidak masuk akal untuk sesiapa saja tinggal di situ, apatah lagi untuk melancong ke sana. Namun, jurugambar Amos Chapple tertarik dengan lokasi itu.

“Saya merakam gambar pelancongan untuk ruangan berita di akhbar, jadi tajuk yang menarik memang penting. Tajuk seperti ‘Tempat paling sejuk di dunia’ sememangnya cukup menarik,” kata lelaki berasal dari New Zealand itu.

Dia mengembara lebih 16,093 kilometer untuk sampai ke kampung di kawasan terpencil Siberia itu yang cuma mempunyai 500 penduduk.

Keadaan di situ begitu teruk sehingga pesawat tidak dapat mendarat pada musim sejuk dan perjalanan ke sana dari Yakutsk, bandar terbesar berhampirannya mengambil masa dua hari.

Chapple menghabiskan beberapa minggu di Oymyakon dan Yakutsk. Gambar dirakamkannya jelas menunjukkan landskap di situ terlalu sejuk dan suram manakala penduduk begitu cekal sehingga mampu menjalani kehidupan di situ.

Oymyakon hanya beberapa kilometer dari Garisan Artik. Kawasan itu gelap gelita sehingga 21 jam sehari pada musim sejuk dengan cuaca purata sekitar -50 Celsius. Cuaca paling sejuk direkodkan di situ pada Februari 1933 iaitu -67.8 Celsius.

Kesejukan artik menjadi perkara biasa bagi penduduk di sini dengan mereka mempunyai pelbagai cara untuk mengatasi kesejukan. Kebanyakan tandas terletak di luar rumah kerana paip dalaman sering beku.

Kereta pula disimpan di dalam garaj yang dipanaskan atau enjinnya dibiarkan hidup sepanjang masa.

Disebabkan tanahnya yang beku, penduduk tidak dapat bercucuk tanam menyebabkan makanan mereka, lazimnya daging rusa kutub atau ikan yang beku serta kiub ais darah kuda dimakan dengan makaroni antara makanan kegemaran penduduk.

Chapple berkata, tidak ramai bersedia berbual dengannya kerana penduduk di situ berjalan laju untuk mencari tempat panas. Namun, mereka yang sempat berbual me­ngaku ketagihan arak masalah utama terutama pada musim cuti.

Dia turut berdepan masalah dengan kameranya disebabkan cuaca yang terlalu sejuk.

“Banyak yang saya pelajari untuk memastikan dapat menyelesaikan tugas yang disasarkan setiap sehari. Sebaik keluar hotel pada waktu pagi, suhu kamera mula menurun. Jika mekanisme kamera beku, terpaksalah saya berehat selama sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:48 AM