SUHU serendah -68 darjah Celsius dicatatkan di bandar ini.
SUHU serendah -68 darjah Celsius dicatatkan di bandar ini.
BANDAR  kecil ini hanya didiami kira-kira 500 penduduk.
BANDAR kecil ini hanya didiami kira-kira 500 penduduk.

Tempat paling sejuk di dunia ialah di Oymyakon, sebuah bandar di kawasan tundra Siberia yang suhunya dicatatkan serendah -68 darjah Celsius.

Purata suhu musim sejuk ialah sekitar -50 darjah Celsius dan hanya kira-kira 500 orang yang sanggup menetap di situ.

Ia suhu paling rendah bagi kawasan yang didiami secara tetap di muka bumi dan juga paling rendah di Hemisfera Utara. Pada 1920-an dan 1930-an, bandar berkenaan hanya menjadi tempat persinggahan penternak rusa kutub yang berhenti di situ untuk membolehkan haiwan berkenaan minum di sebuah kolam air panas.

Bagaimanapun, kerajaan Soviet, dalam usaha untuk menempatkan semula populasi nomad menjadikannya penempatan kekal bagi mengawal dan membantu mereka mengikuti perkembangan teknologi dan budaya.

Ironinya, Oymyakon bermakna ‘air tidak beku’ kerana adanya kolam air panas di kawasan berhampiran.

Kebanyakan rumah di bandar itu masih menggunakan arang dan kayu yang dibakar untuk mendapatkan tenaga dan tidak banyak kemudahan moden di situ.

Kawasan berkenaan juga tidak mempunyai tumbuhan dan penduduknya hanya memakan daging rusa kutub atau kuda.

Sebahagian besar penduduknya penternak rusa kutub dan ada juga yang menyara kehidupan dengan memburu.

Mereka sudah serasi dengan cuaca sejuk sebegitu hinggakan satu-satunya sekolah di situ hanya akan ditutup jika cuaca jatuh melebih paras -50 darjah Celsius.

Oymyakin berada 750 meter di atas paras laut dan panjang waktu siang berbeza, dari tiga jam pada Disember hingga 21 jam ketika musim panas.

Masalah seharian bagi penduduk di Oymyakon, termasuk sukar menulis kerana dakwat pen sentiasa beku dan bateri cepat habis tenaga hingga menyebabkan penduduk membiarkan kereta masing-masing hidup sepanjang hari kerana bimbang tidak dapat menghidupkannya semula.

Walaupun ada liputan untuk penerimaan telefon bimbit, telefon berkenaan tidak akan berfungsi dalam keadaan sejuk seperti itu.

Satu lagi masalah ialah mengebumikan mayat. Ia mungkin mengambil masa tiga hari untuk melakukannya. Tanah perlu digali terlebih dahulu dan unggun api dinyalakan selama beberapa jam. Proses itu dilakukan berulang kali selama beberapa hari sehingga kubur itu cukup dalam untuk memuatkan keranda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:04 AM