PISTOL yang dirampas.
PISTOL yang dirampas.
Junaidi Ladjana


Kinabatangan: Polis menahan lelaki warga asing dan merampas sepucuk pistol jenis colt 45 dalam serbuan di kawasan semak di Ladang Morisem 5, dekat sini, petang semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan anggota polis dari Balai Polis Sukau, 3.15 petang itu, polis turut merampas satu kelopak berisi tujuh peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis membuat pemeriksaan di kawasan semak di ladang berkenaan yang disyaki menjadi tempat menghisap dadah.

"Ketika pemeriksaan dilakukan polis menahan seorang lelaki dan pemeriksaan di dalam beg sandang yang dibawanya menemui pistol colt 45 dan satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup.

"Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 3:17 PM