Amar Singh bersama pegawainya menunjukkan tiga pistol yang dirampas. FOTO Norizuan Shamsuddin
Amar Singh bersama pegawainya menunjukkan tiga pistol yang dirampas. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menahan 12 individu termasuk lima wanita dan merampas tiga pistol termasuk satu yang dilaporkan hilang milik seorang anggota polis, menerusi beberapa serbuan berasingan bermula Isnin lalu hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 8.30 pagi, Isnin lalu membabitkan seorang lelaki berusia 28 susulan satu kes samun bersenjata yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Sentul dua hari sebelum itu.

Katanya, suspek ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta di Jinjang Utara dan hasil pemeriksaan polis menemui satu set komputer dipercayai hasil samun.

"Polis turut merampas kereta model Honda Civic dan satu set anak kunci bersama alat kawalan jauh.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Taman Kepong Indah dan menemui sepucuk pistol jenama Colt model .38 Special CTG berukuran 10.16 sentimeter berhulu kayu bersama 10 biji pil eramin, lima biji pil eramin 5 dan dua biji estacsy.

"Polis turut menahan bapa suspek berusia 55 tahun di dalam rumah terbabit bagi membantu siasatan" katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Amar, hasil penangkapan suspek pertama polis turut menyerbu sebuah rumah di Taman Amansiara, Rawang pada 7.30 pagi Selasa lalu, bagi mengesan senjata api yang diperolehi itu.

Katanya, hasil serbuan polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun, dipercayai 'gun runner' (penghantar senjata) dan merampas sepucuk pistol bersama 52 butir peluru daripada suspek.

"Polis turut menahan seorang lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 30 yang berada di dalam rumah itu bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam satu lagi kes, polis menahan lima individu termasuk dua wanita selepas didapati menyimpan sepucuk pistol milik seorang anggota polis yang dilaporkan hilang pada 14 Mei lalu.

Amar Singh berkata, mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Sahabat, Gombak, awal pagi tadi dan polis berjaya menemui senjata api yang hilang itu.

Katanya, pistol model Styer Compact bersama satu kelopak berisi 10 butir peluru itu tercicir di dalam tandas ketika anggota bertugas itu melakukan intipan kegiatan dadah di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy, Dang Wangi.

"Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 2:13 PM