PELAN pembangunan Medini Iskandar.
PELAN pembangunan Medini Iskandar.

Johor Bahru: Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (Medini Iskandar) melihat pembangunan kediaman dalam segmen harga pertengahan dan premium yang dijual didalam kawasan Medini masih dikuasai sebanyak 70 peratus oleh pembeli tempatan ketika ini.

Projek pembangunan Medini membabitkan penggunaan tanah seluas 890.30 hektar di Johor Bahru itu kini 70 peratus daripadanya dalam proses pembangunan membabitkan sekitar 20 pemaju hartanah tempatan dan asing.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata, 60 peratus daripada projek yang sedang dibangunkan sudah siap dalam pelbagai peringkat ketika ini membabitkan segmen kediaman dan 40 peratus adalah komersial.

“Medini adalah lokasi untuk membuat pelaburan memandangkan ia tidak mempunyai cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan kebanyakan harga kediaman ditawarkan oleh pemaju dalam kategori pertengahan dan premium untuk menarik minat pelabur asing serta tempatan.

“Bagaimanapun, prestasi pembelian daripada pembeli tempatan dilihat lebih banyak daripada pembeli asing memandangkan produk hartanah yang ditawarkan di Medini mempunyai keunikan serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta daya tarikan seperti taman tema, pusat pendidikan dan juga kawasan pejabat,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Khairil berkata, pihaknya juga giat membangunkan kemudahan pengangkutan dan antara yang menjadi fokus ialah infrastruktur bagi kenderaan elektrik yang kini giat dibangunkan dalam kawasan baru di Malaysia.

Katanya, pihaknya akan menyediakan tiga stesen mengecas kenderaan elektrik pada penghujung suku ketiga tahun ini yang mana ia akan dapat dimanfaatkan oleh kakitangan Medini Iskandar dan juga penyewanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:04 AM