DARI kiri  Imran, Khairil Anwar, Ismail dan  Prof Tom Kovac  melihat replika projek pembangunan Medini.
DARI kiri Imran, Khairil Anwar, Ismail dan Prof Tom Kovac melihat replika projek pembangunan Medini.
Norazimah Narudin

Iskandar Puteri: Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (Medini Iskandar) giat membangunkan inisiatif penyelidikan global untuk memperkukuhkan kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia untuk tempoh 100 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Datuk Khairil Anwar berkata, inisiatif berkenaan menjadi salah satu platform bagi mengumpul idea baru terutama membabitkan penyelidikan model masa depan dalam pembangunan bandar mampan.

“Bagi menjayakan usaha berkenaan, kami bekerjasama dengan Nextdor Property Communication Sdn Bhd (Nextdor) dan Institut Teknologi Diraja Melbourne (RMIT).

“Inisiatif penyelidikan ini dijangka membabitkan pembangunan di tanah seluas 890.34 hektar dengan 20 peratus daripadanya sudah dibangunkan,” katanya selepas melancarkan Malaysia Biennial Bandar 100 Tahun: Medini 2017 di Medini 6, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, Pengasas Malaysia Biennial, Imran Clyde dan Pengarah Artistik Malaysia Biennial, Prof Tom Kovac.

“Malah, kami yakin kerjasama antara RMIT serta Nextdor mampu memberi manfaat dan membantu dalam merangka pembangunan fizikal secara realistik,” katanya.

Katanya, terdapat enam pelan induk utama dalam pembangunan Medini membabitkan infrastruktur kawasan kediaman, premis perniagaan, kesihatan, pendidikan, pelancongan dan perkhidmatan kewangan.

“Medini adalah destinasi pertama bagi Biennial Malaysia Bandar 100 Tahun dalam membangunkan bandar baru yang memiliki model penyelidikan mampan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 350,000 penduduk dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:01 AM