BANGUNAN Akademi Teknikal Sankyu yang dijangka siap tahun depan.
BANGUNAN Akademi Teknikal Sankyu yang dijangka siap tahun depan.
Muhamaad Razis Ismail

SANKYU Group akan melabur RM100 juta untuk pembinaan sebuah Akademi Teknikal Sankyu, pusat latihan sumber manusia pertamanya di luar Jepun di Pusat Perdagangan Utama Medini (Medini CBD), Iskandar Puteri, Johor.

Pusat itu akan dibina di tanah seluas 1.67 hektar dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

Pengarah Urusan Sankyu Southeast Asia Holdings, Junichi Matsumura berkata, Malaysia sentiasa menjadi pilihan hab strategik di rantau ini.

"Ini terbukti melalui pelaburan kami yang berterusan dan pembangunan infrastruktur penting di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian dalam majlis pecah tanah di Medini CBD yang dirasmikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Datuk Salehuddin Hassan.

Hadir sama, Pengerusi Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Syarikat MIMSB, Mohamad Zamani Razali.

MAJLIS pecah tanah Akademi Teknikal Sankyu.
MAJLIS pecah tanah Akademi Teknikal Sankyu.

Acara itu diadakan secara maya dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Azman Mahmud, pembinaan kemudahan ini adalah yang pertama dibina Sankyu di Asia Tenggara

"Ini adalah pilihan strategik berdasarkan peralihan dinamik negara yang ingin memberi perkhidmatan berkualiti untuk menyokong dan mengembangkan kepelbagaian ekonomi.

"Pusat latihan ini dapat memberi manfaat ekonomi termasuk membuka peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan pengetahuan melalui latihan, sekali gus mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan dan vendor tempatan," katanya.

Bagi Mohamad Zamani, majlis pecah tanah itu menjadi penanda aras penting kepada Medini untuk menarik lebih ramai penyewa terkemuka.

"Sankyu adalah yang pertama daripada banyak pembangunan di Medini di bawah Iskandar NEXT Initiative yang memberi tumpuan kepada ekonomi, pengalaman dan tenaga kerja baharu.

"Terbaharu kami menerima penempatan semula Kumpulan Prasarana Rakyat Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara di sini dan kami optimis untuk menjadikan Medini CBD sebagai hab strategik untuk Johor dan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:32 AM