Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Penghidap diabetes di Malaysia kini mempunyai pilihan rawatan selamat dan berkualiti dengan pelancaran INSUGEN iaitu insulin manusia rekombinan.

Kaedah rawatan terkini itu dibangunkan syarikat farmaseutikal terkenal, Biocon dan dipasarkan secara eksklusif di negara ini oleh CCM Farmaseutikal Sdn Bhd.

Ia adalah insulin generik pertama yang diperkenalkan di negara ini yang membolehkan akses biofarmaseutikal berkualiti yang lebih besar untuk pesakit kencing manis.

Pengerusi CCM, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembangunan insulin itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia membabitkan proses kompleks merangkumi penyelidikan dan pembangunan meluas termasuk ujian klinikal.

"Proses berkenaan memerlukan pelaburan berskala besar bagi membangunkan dan proses pembuatan berkualiti tinggi bagi memastikan pesakit mendapat produk biofarmaseutikal bermutu tinggi," katanya pada majlis perasmian insulin berkenaan, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Jala.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Leonard Ariff Abdul Shatar dan Presiden Pemasaran Biocon, Ravi Limaye.

Menurut Azalina, dianggarkan lebih 2.5 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 4.5 juta menjelang 2020.

Peningkatan itu mengatasi unjuran 2.48 juta penghidap diabetes menjelang 2030 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Justeru, penting bagi pesakit untuk mendapatkan akses kepada rawatan berkualiti bagi mengawal penyakit selain mengelak komplikasi yang lebih dahsyat," katanya.

Jelasnya, kos rawatan keseluruhan untuk rawatan penyakit itu di negara ini mencakupi 16 peratus daripada belanjawan penjagaan kesihatan yang bersamaan RM2.4 bilion pada 2010.

Justeru, penggunaan insulin generik mempunyai potensi untuk mengurangkan kos berkenaan dan pada masa sama, meningkatkan akses pesakit untuk mendapat rawatan.

Majlis itu turut menyaksikan perjanjian usaha sama strategik antara kedua-dua syarikat.

Perjanjian itu memberi CCM hak lesen bagi tujuan pengedaran eksklusif untuk memasar, menjual serta mengedarkan pelbagai produk insulin di negara ini dan di Brunei.

Limaye berkata, pihaknya komited untuk menyediakan akses pilihan yang berpatutan kepada pakar perubatan, pembekal penjagaan kesihatan dan pesakit kencing manis di negara ini.

"Untuk itu, kami melabur untuk membina kemudahan pengeluaran canggih di BioXcell iaitu taman bioteknologi yang dibina khas di Iskandar Malaysia, Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:01 AM