CCMP wujudkan pasukan francais penjagaan kanser mengenai ubat generik dan biosimilar untuk kurangkan kos pesakit.
CCMP wujudkan pasukan francais penjagaan kanser mengenai ubat generik dan biosimilar untuk kurangkan kos pesakit.
Nor Faizah Mohamed


Kanser. Ia terus dianggap hukuman mati kala mendengar diri menjadi antara penghidapnya.

Lebih menakutkan lagi bagi pesakit apabila barah kerap dilaporkan sebagai punca kematian ketiga paling umum di negara ini.

Dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia menghidap kanser setiap tahun dan terdapat kira-kira 10,000 kes yang masih tidak berdaftar mengikut laporan media tahun lalu.

Menjelang 2020, diramalkan terdapat 15 peratus tambahan bilangan kes kanser termasuk dalam kalangan warga emas.

Namun ada banyak juga kisah pesakit kanser yang berjaya mengatasinya malah kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Apa yang penting ialah tahap kesedaran pesakit, selain sokongan dan pemahaman daripada individu di sekelilingnya.

Oleh itu, bahagian farmaseutikal Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), CCM Pharmaceutical Sdn Bhd (CCMP), menubuhkan pasukan francais penjagaan kanser CCM untuk meningkatkan penggunaan dan kesedaran mengenai ubat generik serta biosimilar sebagai pilihan yang menjimatkan kos bagi pesakit kanser di hospital swasta juga kerajaan.

Pasukan terbabit, yang dikenali sebagai ACE (singkatan bagi Accessibility (Mudah Didapati), Commitment (Komitmen) dan Excellence (Kecemerlangan), memulakan dan melengkapi ekuiti CCM dalam segmen onkologi dengan memperkukuh serta memperluas portfolio terapi kanser generik yang dikeluarkannya di Malaysia, tidak ketinggalan seluruh Asia.

“Produk generik bermutu tinggi dikenal pasti berkesan dan selamat serta memberikan penyelesaian dari segi penjimatan kos untuk pesakit.

“Bagaimanapun, masih terdapat kepincangan tanggapan dan tahap kesedaran yang rendah mengenai keberkesanan dan keselamatan ubat generik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami berharap untuk meluaskan pengetahuan pengguna mengenai ubat generik ini dalam usaha menggalakkan lagi kepelbagaian pilihan rawatan pada kos berpatutan kepada pesakit,” kata Pengarah Urusan Kumpulan CCM Leonard Ariff Abdul Shatar.

Sejajar dengan pembabitan dalam segmen onkologi, CCMP juga melancarkan Kempen Reben Lavender untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan menambah baik tahap penjagaan kanser dalam kalangan pesakit, penjaga, profesional perkhidmatan kesihatan serta masyarakat.

Reben Lavender, yang melambangkan perpaduan dan kesedaran mengenai semua jenis kanser, bakal menyaksikan CCMP berbelanja sejumlah RM400,000 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Antara aktiviti ini termasuk usaha sama dengan Majlis Kanser Kebangsaan Negara (MAKNA) untuk menghasilkan dan mengedarkan tiga risalah pendidikan bagi pesakit dan penjaga, membekalkan ubat onkologi generik secara percuma kepada pesakit terpilih yang mendapat sokongan MAKNA dan menyertai pelbagai acara kesedaran kanser awam.

Inisiatif Reben Lavender juga bakal menyaksikan CCMP membabitkan diri secara lebih giat dan menyokong penyelidikan dan pembangunan ubat onkologi menerusi penyertaannya dalam Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Onkologi Malaysia.

Dalam pelancaran kempen Reben Lavender baru-baru ini, risalah pendidikan ‘Together we care: Guiding you through life after cancer diagnosis’ (Bersama-sama kita prihatin: Membantu anda menempuh kehidupan selepas diagnosis kanser) turut diperkenalkan.

Risalah ini disifatkan sebagai bantuan motivasi dan petua praktikal kepada pesakit serta penjaga mereka. Ia akan digunakan secara meluas oleh pasukan pendidikan kanser MAKNA dan diedarkan kepada khalayak, pesakit serta penjaga ketika sesi aktiviti, ceramah juga pameran yang dianjurkan oleh MAKNA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:16 AM