IDRIS (kanan) merasmikan majlis pelancaran Insugen sambil diperhatikan Azalina.
IDRIS (kanan) merasmikan majlis pelancaran Insugen sambil diperhatikan Azalina.

Petaling Jaya: Biocon Limited (Biocon), syarikat biofarmaseutikal bersepadu India yakin pembinaan kilang pengeluaran di BioXcell, Iskandar Malaysia mampu melonjakkan kedudukannya sebagai antara pengeluar insulin terbesar di dunia dalam tempoh jangka panjang.

Presiden Pemasarannya, Ravi Limaye berkata, kemudahan itu kini melalui proses penilaian pihak berkuasa dan dijangka mula beroperasi Mac tahun depan untuk memenuhi keperluan global bagi rangkaian produk insulin manusia dan analog insulin, protein rekombinan, produk ubat steril lain dan alat pemberian ubat.

“Kemudahan ini bakal menjadikan ia kilang pengeluaran insulin bersepadu terbesar di Asia, sekali gus menyumbang kepada usaha kami menjadi pengeluar insulin ketiga terbesar di dunia berbanding keempat pada masa ini,” katanya pada majlis pelancaran Insugen, di sini, semalam.

Ia disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala dengan Pengerusi CCM iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said.

Biocon sudah melabur RM535 juta untuk fasa pertama pembinaan kilang terbabit yang dijangka menawarkan 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan meneruskan komitmen pelaburannya apabila melabur sejumlah RM133 juta lagi bagi fasa kedua kilang itu pada tahun depan.

Dalam perkembangan sama, Biocon melancarkan produk Insugen iaitu insulin generik pertama yang diperkenalkan di negara ini untuk menawarkan pilihan produk biofarmaseutikal berkualiti tinggi secara lebih meluas kepada penghidap diabetes.

Ia dibangunkan Biocon dan bakal diedarkan secara eksklusif oleh anak syarikat milik Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) iaitu CCM Pharmaseutical Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia dan Brunei dan produk itu diimport daripada kilang pengeluaran di Banglore, India pada peringkat awal sebelum dihasilkan di Malaysia menjelang akhir tahun depan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CCM, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pengenalan produk Insugen diharap dapat mengurangkan beban ekonomi ke atas kesihatan awam dan memastikan rakyat di negara ini menerima rawatan kesihatan yang memberikan nilai terbaik untuk wang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:04 AM