Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Rokok bernilai kira-kira RM700,000 tidak sempat masuk ke pasaran tempatan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5), mematahkan cubaan seludup itu di jeti di Umbai, Jasin, hari ini.

Pengarah Maritim DM5, Kepten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus berkata, rokok terbabit dipercayai diseludup dari Indonesia.

"Terdapat 200 kotak rokok yang setiap satunya mengandungi 50 karton ditemui dalam bot pancung sepanjang 15 meter diperbuat daripada gentian kaca.

"Dipercayai, lebih dua suspek terlibat dalam penyeludupan rokok ini namun tiada tangkapan dibuat kerana suspek melarikan diri," kata Ahmad Faridi dalam sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, bot terbabit dikesan anggotanya dalam keadaan mencurigakan kira-kira 3 batu nautika dari Pulau Undan, di sini disyaki dari Bengkalis, Indonesia, pada 1 pagi, menuju ke jeti persendirian di Umbai (Jasin).

Justeru, pihaknya menahan bot di jeti terbabit pada 2.30 pagi ketika pemunggahan sedang dilakukan.

Ahmad Faridi berkata, pihaknya turut merampas bot pancung buatan gentian kaca yang menggunakan empat enjin setiap satu berkapasiti 200 kuasa kuda yang dianggarkan bernilai RM250,000.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 1:24 PM
AHMAD Faridi (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
AHMAD Faridi (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber