FOTO Rosdan Wahid
FOTO Rosdan Wahid
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Klang mematahkan cubaan menyeludup masuk 3,210 karton rokok tidak sah ke negara ini.

Mereka mematahkan percubaan itu apabila menahan sebuah bot pancung di pantai Tanjung Sepat, Banting, dekat sini, 9.30 malam tadi.

Bot ronda APMM berjaya mengesan bot pancung yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penguat Kuasa APMM Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan, berkata bot APMM mengekori bot terbabit dan berjaya menahan bot itu kira-kira 0.1 batu nautika dari pantai Tanjung Tumbuk.

Bagaimanapun, katanya, dua suspek yang berada dalam bot itu melarikan diri ke arah hutan bakau berhampiran.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bot itu menemui pelbagai jenis rokok tidak sah antaranya Marlboro Merah dan Putih, Semporna Merah dan Hijau, Mild serta Dji Sam Soe.

"Jumlah rokok yang ditemui adalah 3,210 karton dengan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM364,900 manakala nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan enjin kira-kira RM620,000," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang tanpa kelulusan Kastam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 6:19 PM