MOHD Aliyas (kanan) menunjukkan rokok  yang cuba diseludup dari negara jiran.
MOHD Aliyas (kanan) menunjukkan rokok yang cuba diseludup dari negara jiran.

Pelabuhan Klang: Kegiatan satu sindiket penyeludupan rokok pelbagai jenama dari negara jiran berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas mereka menahan sebuah bot pancung membawa muatan 1,780 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM142,000 di perairan Pantai Acheh, Pantai Indah, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, APMM mengesan sebuah bot pancung dengan empat enjin 200 kuasa kuda dari Indonesia berada dalam keadaan mencurigakan dan dipandu laju.

Bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dinaiki beberapa lelaki. Sebaik berjaya dipintas bot ronda APMM, semua lelaki terbabit dipercayai warga asing terjun ke dalam laut untuk melarikan diri.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, ini adalah kejayaan terbesar tahun ini dalam Ops Satria Selatan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot pancung yang ditinggalkan itu, pihaknya menemui pelbagai jenama rokok seludup.

“Selain rokok seludup dianggarkan bernilai RM142,400, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin itu adalah berjumlah RM332,400,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, bot pancung berkenaan ditunda ke jeti APMM Daerah Maritim Klang untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan membawa masuk atau menyeludup barang tanpa duti kastam.

Mohd Aliyas berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi di lokasi yang disyaki menjadi laluan penyeludup di kawasan ‘hot spot’ agar kegiatan penyeludupan rokok ini dapat dibanteras.

“Orang ramai terutamanya nelayan yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya aktiviti ini dapat dikekang ke tahap yang paling minimum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 10:30 AM