Milan: Pertembungan setempat pertama musim ini memberikan ujian getir buat Roberto Mancini ketika beliau kembali ke Inter manakala Lazio bakal melayan kunjungan pendahulu, Juventus dalam usaha memburu kemenangan untuk mencabar kedudukan juara sambil menjarakkan diri dengan Roma.

Kehadiran semula Mancini ke Inter pasti mencetuskan pelbagai emosi terutama selepas beliau membimbing kelab itu untuk menjuarai tiga gelaran liga berturut-turut, dua Piala Liga dan dua Piala Super sepanjang membimbing kelab terbabit pada 2004-2008.

Walaupun kini beliau membimbing Inter bagi menggantikan Walter Mazzarri yang dipecat, ramai percaya bekas pengendali Manchester City dan Galatasaray itu mempunyai kelebihan berbanding jurulatih Milan Filippo Inzaghi.

“Mancini memiliki kelebihan berbanding Inzaghi,” kata pemain Cagliari, Zdenek Zeman yang menerajui kelab untuk bertemu Napoli.

“Inzaghi pernah membimbing skuad remaja Milan, tetapi itu bukan bermakna beliau sudah bersedia untuk berdepan saingan Serie A.”

Milan gagal memenangi empat perlawanan terakhir mereka dan hanya berupaya mengumpul empat mata untuk menduduki tangga ketujuh, 11 mata di belakang Juve dan empat mata di belakang Napoli.

Dengan Inter yang menduduki tangga kesembilan dan ketinggalan satu mata, Mancini dijangka menerapkan formasi 4-3-1-2 berbanding formasi 3-5-2 yang digunakan Mazzarri.

Bekas pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic akur kebolehan Mancini apabila pengendali Itali itu membawa City memenangi Liga Perdana Inggeris pertama dalam tempoh 44 tahun.

Kini, pertahanan Inter itu sedia untuk beraksi secara bebas di benteng pasukan dan dia antara pemain pertama yang memuji kebolehan Mancini ketika turun menjalani latihan selepas berehat akibat kecederaan.

“Ia formasi yang biasa saya main dan justeru, saya sudah memahaminya,” kata bekas pemain antarabangsa Serbia itu.

“Jurulatih baru sentiasa hadir dengan idea serta falsafah sendiri. Mancini menunjukkan kepada kita apa yang beliau mahukan dan ia adalah sesuatu yang cukup menarik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:10 AM