Milan: Gonzalo Higuain diejek penyokong Palermo ketika kelab Sicily itu berjaya menyukarkan impian Napoli layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan kemenangan 3-1, kelmarin.

Napoli berkunjung ke Stadium Barbera selepas terikat 3-3 dengan anak buah Giuseppe Iachini di San Paolo, September lalu.

Kebimbangan itu ternyata benar apabila Achraf Lazaar, Franco Vazquez dan Luca Rigoni menyumbang satu gol untuk meletakkan Palermo selesa di depan selepas 65 minit.

Manolo Gabbiadini yang menggantikan Marek Hamsik pada minit ke-54, menyumbat gol saguhati Napoli hanya beberapa minit selepas penyokong Palermo mencemuh Higuain ketika dia digantikan Duvan Zapata pada minit ke-74.

Ia kemenangan kesembilan Palermo ke atas Napoli dalam 42 pertemuan dan melonjakkan anak buah Iachini ke tangga ketujuh Serie A, sembilan mata di belakang Napoli yang menghuni tangga ketiga.

Iachini menafikan peluang pasukannya layak ke Eropah, namun pantas memuji kehebatan anak buahnya mengamalkan formasi baru bagi menyerap formasi 4-3-3 Napoli.

“Sepanjang minggu kami cuba bermain dengan formasi 4-3-2-1, yang kami gunakan menentang Napoli dan ia berjaya menyerap permainan mereka selain menyekat mereka di bahagian sayap,” kata Iachini.

Terdahulu, pemain tengah pinjaman dari Chelsea, Mohamed Salah menjaringkan gol pertama dalam Serie A dan mencipta satu lagi buat Khouma Babacar ketika Fiorentina berusaha layak ke Eropah dengan kemenangan 3-1 ke atas Sassuolo di laman lawan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:02 AM