PERKAMPUNGAN kraf dan pelukis.
PERKAMPUNGAN kraf dan pelukis.
BANGUNAN Seri Anjung
BANGUNAN Seri Anjung
MUZIUM Kraf yang mempamerkan pelbagai produk kraf.
MUZIUM Kraf yang mempamerkan pelbagai produk kraf.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Siapa sangka Jalan Conlay yang dulunya tenang daripada kesibukan dan kesesakan kini berubah wajah dengan terbinanya deretan bangunan berkonsepkan seni bina tradisional Terengganu.

Bangunan yang turut diilhamkan daripada seni bina Melayu diterapkan pada setiap binaanya.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur mempunyai struktur dinding dan anjung yang menjadi lambang utama seni bina Melayu.

Atapnya pula mempunyai tulang bumbung dan perabung dihiasi bentuk tingkap lama yang mempunyai kambi, ukiran atas tingkap, jenang tingkap dan bendul.

Bahagian anjung menyerlahkan lagi keunikan bangunan itu yang mempunyai tebar layar atau tupang layar.

Ia bermotifkan matahari memancar dari sebelah tengah garisan bawah yang melambangkan kejayaan dan kecemerlangan penghuninya.

Tangga batu yang tersergam indah pula bagaikan menyambut tetamu ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur itu.

Ia diinspirasikan daripada rumah tradisional Melaka bagi menampakkan lagi seni bina unik seolah-olah bangunan itu bertiang dan lebih tinggi dari aras tanah.

Keindahan bangunannya melambangkan keindahan isi rumah atau kandungannya yang menempatkan komponen bangunan dinamakan Seri Anjung, Seri Cipta dan Seri Budaya.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur adalah salah satu pusat persinggahan usahawan yang menawarkan pelbagai aktiviti.

Ia hasil buatan dan sumbangan rakyat negara ini kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Melangkah bagaikan memasuki sebuah rumah yang disambut mesra dengan hiasan dan keceriaan bagi mengalu-alukan kehadiran pengunjung.

Di kiri dan kanan laluan terdapat pameran produk baru sebagai pembuka awal keunikan seni kraf tempatan menerusi kedai Karyaneka, PREKA dan Kedai SDSI yang menyajikan produk kraf autentik.

Di hujung bangunan Seri Anjung ke Seri Budaya kelihatan artifak kraf lama dipamerkan sebagai penghubung pendidikan lambang peradaban seni kraf dulu dan kini yang ditempatkan di Muzium Kraf.

Meninjau laman dan taman di Kompleks Kraf kelainan dapat diamati dengan wakaf-wakaf bumbung bertingkat atap 'senghora' menempatkan Perkampungan Kraf dan Perkampungan Pelukis.

Seni hiasan laman menerapkan elemen tradisi melalui hiasan produk kraf seperti pasu hiasan, ukiran dan arca-arca yang diselang-selikan dengan pohon hijau.

Pembuatan produk kraf boleh dilihat secara terus terutama batik, seramik, ukiran dan piuter.

Berada di Karyaneka Kraf Butik yang menempatkan seni kraf tekstil tanah air termasuk songket, tenunan dan batik, pelbagai produk berasaskan tekstil terdapat di sini.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur turut menawarkan sewaan di Panggung Sari yang boleh menempatkan kira-kira 800 tetamu, kawasan jualan dan pendidikan.

Laman Wau yang cukup menarik sesuai untuk acara malam dan persembahan yang boleh menempatkan 350 tetamu. Kawasan Laman Plaza yang luas juga boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti aktiviti keluarga berkumpulan dan promosi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:15 AM