SEBAHAGIAN kumpulan yang bakal bertanding Ahad ini.
SEBAHAGIAN kumpulan yang bakal bertanding Ahad ini.
Oleh Michelle Gun

Pertandingan mencari kumpulan pemuzik atau band terbaik, Raja Band Kuala Lumpur 2014 mengumumkan 12 band yang layak ke peringkat separuh akhir.

Kumpulan berkenaan adalah Rimba Bara, Mole, The Rudean, Floor 88, Rockaholix, Octopress, Wad 18, Fifty One, Metal Kayangan, Untouchable, Kasim Sentelon and the Gonjeng All Star dan The Light Band.

Peserta adalah juara serta naib juara pertandingan mingguan yang berlangsung sejak 19 Oktober lalu.

Selain itu, pihak juri turut sebulat suara bersetuju untuk memberi peluang kepada kumpulan Derpstep dan YNM Band memasuki ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung di Dataran Medan Pasar, Kuala Lumpur pada Ahad ini, jam 5 petang.

Kemudian hanya lima kumpulan terbaik dipilih ke final yang diadakan pada 7 Disember ini di lokasi sama.

Hadiah lumayan bakal menanti juara iaitu wang tunai RM10,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Persatuan Karyawan Malaysia itu juga bakal menyaksikan vokalis Wings, Awie sebagai Mentor Raja Band 2014 serta ketua juri bagi pertandingan akhir.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pertandingan itu bertujuan menyemarakkan lagi aktiviti kesenian di ibu kota selain mencungkil bakat baru.

"Pada masa sama, pertandingan ini bagi mengurangkan warga asing melepak di Dataran Medan Pasar," katanya ketika sidang media, baru-baru ini.

Menurutnya, sejak dianjurkan pada 2012, Raja Band Kuala Lumpur berjaya menarik lebih 300 kumpulan untuk menyertai pertandingan itu.

"Kami mahu memberi peluang kepada belia untuk mencungkil bakat mereka dalam bidang muzik dan nyanyian di samping menghiburkan pengunjung," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pertandingan itu berkesan, beberapa pemuzik handalan tanah air diundang sebagai juri pertandingan.

"Pertandingan mingguan menampilkan Aznan Alias, Yazit Search, Edrie Hashim, Radhi OAG dan Ad Samad selaku juri," katanya.

Mengenai pemilihan Awie sebagai juri final, Ahmad Phesal berkata, penyanyi itu dilantik sebagai mentor dan juri pertandingan kali ini berdasarkan pengalamannya dalam industri muzik.

Sementara itu, Awie berkata, pertandingan itu memanfaatkan masyarakat kerana membantu mengelak gejala sosial dalam kalangan belia.

"Pertandingan ini bertujuan mencari band yang terbaik dan tidak sabar menyaksikan persembahan peserta di final.

"Saya berharap orang ramai akan hadir untuk memberi sokongan kepada bakat anak tempatan pada Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:00 AM