SEKITAR majlis perasmian dan penutupan GTCC1.0.
SEKITAR majlis perasmian dan penutupan GTCC1.0.
Oleh Suliati Asri


DALAM melaksanakan saringan pemilihan pelajar ke pertandingan kemahiran yang dianjurkan di setiap peringkat tidak kira peringkat kolej, kebangsaan ataupun antarabangsa, Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menganjurkan 'Grooming The Champions Challenge 1.0' (GTCC1.0).

Pertandingan yang julung kalinya diadakan secara dalam talian itu disertai 97 pelajar dan mempertandingkan enam bidang iaitu bidang masakan, pastri, perkhidmatan restoran, teknologi fesyen, 'painting and decoration' dan teknologi rekaan grafik.

Menerusi pertandingan ini, peserta GTCC1.0 perlu menghasilkan produk mengikut tema pertandingan dalam bidang yang dipertandingkan dengan bahan disediakan dan produk akhir akan dipersembahkan kepada juri melalui video rakaman peserta.

Juri yang dilantik adalah yang berpengalaman dalam industri masing-masing.

PEMENANG pingat emas GTCC1.0.
PEMENANG pingat emas GTCC1.0.

Pengarah KKSY Ts Abdul Razak Sabtu berkata, pertandingan itu amat signifikan dalam membantu mengasah dan mencungkil bakat serta menaik taraf kemahiran pelajar untuk dipertandingkan di setiap peringkat.

"GTCC 1.0 adalah sebahagian daripada inisiatif dan iltizam KKSY untuk mencungkil bakat, kreativiti, inovasi dan keazaman pelajar dalam mencetus nilai tambah dalam diri masing-masing.

"Usaha ini diharap dapat melahirkan kumpulan tenaga kerja mahir ke arah memacu industri berasaskan kemahiran setanding pencapaian di negara lain," katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan penutup pertandingan yang diadakan secara maya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik, Sazuan Nazleen Mohd Azam, Timbalan Pengarah Pengurusan, Mohd Nazaruddin Hanapiah dan Pengarah Program, Rahayu Taha.

Penyertaan dalam pertandingan kemahiran ini memberi impak dan manfaat besar kepada pelajar seta kolej komuniti yang mana ia dapat mengiktiraf tahap kemahiran pelajar selain penanda aras tahap kemahiran peserta di peringkat kolej.

Pertandingan yang dijalankan secara dalam talian ini juga tidak menghentikan usaha dan semangat pelajar dan pensyarah dalam menunjukkan budaya kecemerlangan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih dapat menghasilkan produk pertandingan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:12 AM