Siti Rohana Idris


Tumpat: Sudah lebih enam bulan nelayan di sini, bersemangat turun ke laut apabila musim sotong kali ini dilihat sangat menjadi.

Setiap hari, nelayan di Jeti Geting, di sini mampu menaikkan antara 300 hingga 400 kilogram (kg) sotong yang pasti menjadi rebutan pembeli sama ada untuk jualan runcit atau borong.

Bagi pengusaha bot, Mohd Sayuti Idris, 39, situasi itu sangat berbeza dengan sebelum ini yang hanya sekitar tiga bulan sahaja musim mencandat sotong dengan hasil purata yang mampu diraih tidak sampai 100 kg setiap hari.

"Keadaan ini sangat berlainan, musim mencandat sotong yang bermula April lalu berlarutan sehingga kini dan setiap hari nelayan di bawah seliaan saya mampu membawa pulang kira-kira 400 kg.

"Saya berpendapat keadaan ini disebabkan kurangnya gangguan daripada nelayan asing yang sebelum ini sering menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Sayuti yang memiliki 10 bot iaitu tujuh dari kelas B dan tiga kelas A berkata, kira-kira 30 pekerjanya akan turun ke laut untuk mencandat antara dua hingga tiga hari sebelum membawa hasil yang sangat lumayan.

MOHD Sayuti (kanan) bersama dengan pekerjanya mengasingkan sotong mengikut saiz iaitu daripada A, B, C serta D untuk jualan runcit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Sayuti (kanan) bersama dengan pekerjanya mengasingkan sotong mengikut saiz iaitu daripada A, B, C serta D untuk jualan runcit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dia berkata, sotong yang dicandat itu akan dijual secara runcit pada waktu pagi manakala sebelah petangnya pula, gerai di sini akan dibuka untuk kedatangan peraih.

"Sotong ini dikategorikan mengikut saiz iaitu daripada A, B, C serta D dan untuk jualan runcit, ia dijual mengikut pasaran semasa iaitu antara RM20 hingga RM30 sekilogram.

"Gerai berhampiran jeti untuk jualan ini baru setahun saya buka kerana mengenangkan ramai anak muda di kampung tidak dapat bekerja disebabkan pandemik Covid-19, sekurang-kurangnya saya dapat menyediakan pekerjaan kepada mereka.

"Selain dijual terus kepada pembeli atau peraih, saya juga akan menghantar sotong ini ke pasar basah, pasar borong, kedai makan atau restoran dan hotel," katanya.

Mohd Sayuti berkata, nelayannya akan mencandat sekitar lima hingga tujuh batu nautika dan buat masa kini dia belum pasti bila musim mencandat akan tamat memandangkan hasil yang diperoleh masih lumayan.

Menurutnya, keadaan cuaca sekarang juga masih dalam keadaan baik namun pihaknya sentiasa berjaga-jaga memandangkan peralihan monsun timur laut bakal tiba iaitu dijangka penghujung bulan ini.

"Biasanya menjelang November, nelayan sudah menghentikan aktiviti ke laut kerana sudah tiba musim tengkujuh dan dalam tempoh beberapa bulan itu, mereka akan menjalankan kegiatan lain seperti menjahit pukat dan memancing di sekitar sungai berhampiran sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 1:13 PM