RAHIM (kanan) memeriksa satu bot daripada lima bot nelayan Vietnam yang ditahan di lima lokasi berbeza antara 50 hingga 70 batu Nautika dari muara Kuala Terengganu dan menahan 55 awak-awak termasuk tekong serta membabitkan rampasan bernilai RM5 juta, semalam. FOTO Imran Makhzan.
RAHIM (kanan) memeriksa satu bot daripada lima bot nelayan Vietnam yang ditahan di lima lokasi berbeza antara 50 hingga 70 batu Nautika dari muara Kuala Terengganu dan menahan 55 awak-awak termasuk tekong serta membabitkan rampasan bernilai RM5 juta, semalam. FOTO Imran Makhzan.
Zaid Salim


MUSIM sotong menarik lebih banyak bot nelayan Vietnam menceroboh perairan Terengganu bagi mencuri sotong segar yang mendapat permintaan tinggi penggemarnya di negara berkenaan.

Kehadiran mereka mengaut hasil laut secara haram itu mengundang rasa tidak selesa nelayan tempatan yang berasa terganggu dengan kehadiran penceroboh terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ini terbukti apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 55 awak-awak dan tekong berusia antara 15 hingga 55 tahun dan lima bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Kuala Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat nelayan tempatan yang tidak senang dengan kehadiran banyak bot nelayan asing khususnya Vietnam di laut negeri ini.

“Lima bot terbabit ditahan di lima lokasi berbeza iaitu antara 50 hingga 70 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada 6 hingga 9 pagi.

“Semua bot berkenaan dipercayai masuk secara berkumpulan ditahan selepas kami menerima aduan daripada nelayan tempatan yang mendakwa diganggu ketika menjalankan aktiviti mencandat sotong.

“Mereka menggunakan kaedah tunda ganding membabitkan enam bot. Ketika serbuan, sebuah bot berjaya melepaskan diri dan hanya lima berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita di Pejabat DM 9, Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.

Rahim berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5 juta membabitkan bot dan peralatan menangkap ikan, 11 tan hasil tangkapan dan diesel sebanyak 12,000 liter.

Beliau berkata, kewujudan orang tengah atau ejen di kalangan orang tempatan yang tamak dan mahu mengaut keuntungan secara mudah menyebabkan pencerobohan nelayan asing di perairan negeri ini semakin menjadi-jadi.

“Siasatan kami mendapati ejen ini memberi maklumat kepada tauke bot di Vietnam dan mengarahkan tekong untuk masuk ke mana-mana lokasi di perairan Terengganu yang ditetapkan dan mereka mendapat habuan ribuan ringgit.

“Secara keseluruhan, sebanyak 41 bot nelayan warga asing ditahan sepanjang Operasi Perkasa Timur yang dijalankan bermula Januari lalu sehingga kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 10:09 PM