MOHD Yusoff.
MOHD Yusoff.
Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memperbanyakkan kolam alternatif atau kolam takungan air di negeri-negeri bagi menangani penurunan air di empangan berikutan musim kemarau.

Pakar Kualiti Air dan Kemampanan Alam Sekitar, Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, langkah proaktif itu amat penting dalam menangani isu kekurangan air di beberapa empangan selain pendekatan konvensional seperti kaedah pembenihan awan.

"Hybrid of River Augmentation System (HORAS) atau kolam alternatif ini perlu diwujudkan di luar dari kawasan sungai dengan kawalan pembangunan.

"Ia bagi memastikan kita ada sejumlah stok air yang mencukupi dan boleh digunakan serta dirawat bagi menjamin bekalan air di negeri masing-masing.

"Setakat ini hanya Selangor dan Negeri Sembilan sahaja menggunakan kaedah ini, negeri-negeri lain masih belum nampak lagi," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kaedah lain adalah dengan memelihara sungai-sungai daripada terus tercemar.

"Program pemuliharaan sungai di beberapa negeri kelihatan tidak berfokus. Kita haruslah mempunyai matlamat yang jelas supaya dalam masa lima tahun kita boleh guna dan merawat air sungai itu untuk kegunaan domestik atau industri.

"Sungai ada kuantiti air yang banyak, jadi dengan keupayaan teknologi rawatan air, sungai mampu memberikan jaminan pada masa akan datang," katanya.

Katanya, kawasan tadahan sedia ada seakan tidak menerima taburan hujan seperti sebelum ini berkemungkinan disebabkan faktor perubahan iklim yang menyaksikan hujan tidak berlaku di kawasan itu.

"Contohnya di Lembah Klang, hujan banyak berlaku di kawasan yang sudah membangun dan bukan kawasan tadahan sehinggakan banjir kilat mudah terjadi dalam bandar.

"Sehubungan itu, kerajaan perlu memikirkan untuk mewujudkan loji rawatan air di muara Sungai Klang bagi mengambil kesempatan atas kuantiti air yang banyak.

"Bagi memastikan sungai kekal sebagai punca utama bekalan air mentah, semua negeri harus mengguna pakai polisi sifar pencemaran seperti yang dilaksanakan di Selangor sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:31 PM