OTHMAN (kanan) bersama Pengurus Besar MADA, Fouzi Ali menunjukan carta takungan air empangan 2016 pada sidang media. FOTO Sharul Hafiz Zam
OTHMAN (kanan) bersama Pengurus Besar MADA, Fouzi Ali menunjukan carta takungan air empangan 2016 pada sidang media. FOTO Sharul Hafiz Zam
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penyusutan paras takungan di kawasan tadahan air khususnya di tiga empangan utama di negeri ini, dijangka menjejaskan hasil tuaian 57,000 petani di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada musim pertama 2017.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz, berkata, penyusutan kawasan tadahan sehingga 49.16 peratus yang mempunyai kaitan dengan fenomena El-Nino tahun ini, dijangka menjejaskan sehingga 15 peratus hasil padi.

Beliau berkata, paras takungan semasa air di Empangan Pedu, Muda dan Ahning pada 22 Disember lalu direkodkan pada kadar 741.54 juta meter padu, iaitu kurang 47.2 peratus berbanding 1,405 juta meter padu pada tarikh sama tahun lalu.

"MADA memerlukan 63 peratus kadar takungan di tiga empangan itu bagi membolehkan air dapat dilepaskan secara sempurna untuk tujuan pertanian, selain untuk kegunaan domestik dan industri.

"Kita menerima hujan yang agak banyak di kawasan lapangan, namun tidak di kawasan tadahan... walaupun pembenihan awan dilakukan secara berperingkat sejak Julai lalu, 80 peratus daripadanya gagal," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah MADA di sini, hari ini.

Othman berkata, pihaknya berpendapat kaedah tabur terus kering adalah alternatif sesuai berikutan bekalan air yang terhad bagi musim penanaman 1/2017 dengan meneruskan penanaman padi dua kali setahun, walaupun ia memberi risiko kepada pengurangan kadar cambahan benih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 7:21 PM