Paras air kawasan takungan Kolam Bukit Merah yang semakin susut. - Foto SAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Paras air kawasan takungan Kolam Bukit Merah yang semakin susut. - Foto SAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Saiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bukit Merah: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terpaksa menangguhkan penyaluran air kepada pesawah di kawasan Selinsing dan Gunung Semanggol di sini, berikutan kuantiti air takungan Kolam Bukit Merah semakin susut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tindakan itu berikutan kolam tadahan itu mengalami penyusutan antara lima hingga lapan sentimeter sehari berikutan cuaca panas.

Katanya, kuantiti paras air kolam tadahan terbabit kini berada pada paras 7.12 meter yang dilabelkan sebagai kritikal tahap dua.

"Sistem pengairan untuk dua kawasan pertanian terbabit meliputi keluasan 4,967 hektar terpaksa ditunda 10 hari dari kepada 20 April berikutan paras air kolam tadahan yang semakin surut. JPS terpaksa menghadkan kegunaannya untuk bekalan air minuman sahaja.

"Sekiranya keadaan cuaca berterusan, JPS akan akan menunda lagi tarikh pengairan bagi dua kawasan ini," katanya kepada media ketika meninjau Kolam Tadahan Empangan Bukit Merah di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata, pihaknya bimbang berikutan laporan JPS mendapati kuantiti air kolam tadahan di sini dijangka mampu bertahan hanya enam hari sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 8:32 PM