GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis giat mengesan seorang lagi individu yang terbabit dalam kejadian samun lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak pada 7 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu berkenaan adalah suspek ke lapan kejadian samun itu.

"Kita sedang kesan individu ini, suspek adalah orang awam dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes samun ini.

"Tujuh individu yang ditahan reman termasuk lima pegawai polis sebelum ini sudah direman maksimum dan kini dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Menurutnya, pihaknya juga berjaya memperoleh semula wang tunai berjumlah RM142,000 dan 27,000 baht (RM3,500) yang dipercayai disamun dari mangsa.

"Siasatan kini dalam peringkat untuk membuat keputusan sama ada boleh dituduh atau tidak," katanya.

Pada 9 April lalu, Harian Metro melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes samun dan menyamar polis membabitkan seorang lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:44 PM