GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lima suspek disambung reman sehari, manakala dua lagi suspek masih dalam tahanan reman sehingga esok bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.

Sebelum ini polis menahan tujuh individu termasuk lima anggota polis kerana terbabit dalam kes samun terbabit

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, reman sehari itu diperoleh selepas tempoh reman empat hari suspek tamat hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes samun dan menyamar polis membabitkan seorang lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai.

Bertindak atas maklumat risikan, pada 11.50 malam Ahad lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menahan tiga lelaki.

Hasil daripada tangkapan pertama membawa kepada tangkapan empat lagi lelaki.

Dalam kejadian 5.30 petang Sabtu lalu, pengawal keselamatan yang bertugas di residen Jalan Tun Razak bersama rakannya didatangi suspek memperkenalkan anggota polis.

Mereka kemudian meminta pengawal keselamatan itu membawa ke tingkat lima sebelum meminta pengawal keselamatan itu beredar.

Kemudian pada 11 malam, suspek beredar dari kediaman terbabit dengan kereta dan motosikal.

Selepas itu datang pasangan warga asing berjumpa dengan pengawal keselamatan memberitahu wang tunai dan barangan kemas mereka hilang.

t

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 6:49 PM