FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: "(Lebih baik) Serah diri. Tinggal masa dan tarikh saja menentukan anda ditangkap," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa itu yang ditujukan kepada individu dikehendaki berhubung kes samun warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak, di sini, 7 April lalu.

Individu dalam buruan, Mohamad Ardzwan Mohd Anuar, 34, yang juga suspek kelapan dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun yang sehingga kini sudah menahan tujuh individu termasuk lima anggota polis.

"Suspek masih belum dapat tangkap, masih bebas... kita ada gambar dia, kita ada alamat, tapi dia tiada di situ.

"Sukacita saya ingatkan walaupun dia tidak dapat ditangkap dalam masa terdekat, keputusan (pendakwaan) boleh dibuat tanpa tangkapan atau ditangkap kemudian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagaimanapun dikembalikan semula bagi melengkapkan beberapa perkara.

Pada 9 April lalu, Harian Metro melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.

Rusdi dilaporkan berkata, polis menerima laporan samun dan menyamar polis membabitkan lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 6:14 PM