Ravindar Singh menerima tongkat kuasa pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu. FOTO Ihsan Polis
Ravindar Singh menerima tongkat kuasa pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin yang dinaikkan pangkat sebagai Komandan Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Muar.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pelantikan Ketua Polis Daerah baharu ini diharap dapat meneruskan kesinambungan perkhidmatan cemerlang pimpinan terdahulu.

"Berbekalkan pengalaman yang dimiliki sudah pasti Asisten Komisioner Ravindar Sing Sarban Singh akan dapat melaksanakan tugas dengan lancar walaupun berdepan cabaran.

"Saya menyeru seluruh warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras supaya memberikan komitmen dan sokongan yang kukuh kepada Ketua Polis Daerah baharu,"katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan tugas dan tongkat kuasa Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob.

Sementara itu, Zam Halim mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga IPD Cheras atas kerjasama yang diberikan sepanjang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:39 PM