HAMID berpencen wajib bermula esok selepas 42 tahun menabur bakti kepada negara. FOTO Ihsan APMM
HAMID berpencen wajib bermula esok selepas 42 tahun menabur bakti kepada negara. FOTO Ihsan APMM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Hamid Mohd Amin bersara wajib esok selepas 42 tahun menabur bakti kepada negara.

Pelbagai kejayaan berjaya dicapai walaupun hanya lima bulan beliau meneraju puncak kepimpinan APMM sejak 6 November tahun lalu.

APMM dalam kenyataan hari ini berkata, Hamid yang juga Ketua Pengarah keenam APMM meletakkan integriti, operasi dan ilmu (IOI) sebagai teras utama dalam melaksanakan tugas.

"Walaupun baru lima bulan menerajui APMM, beliau melakar beberapa kejayaan agensi melalui peningkatan operasi APMM khususnya di sempadan perairan negara.

"Beliau turut menguruskan pertambahan aset baharu seperti perolehan empat buah helikopter medium lift, Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) (satu), New Generation Patrol Craft (NGPC) (dua) dan bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aset lain yang berjaya dibawa masuk termasuk lima buah bot pemintas (RHFB), dan membawa masuk kapal peronda luar pesisir (OPV) dari Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS).

APMM berkata, Hamid juga berjaya memastikan penghantaran dan pengoperasian OPV1 yang dinamakan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang beroperasi di perairan Sarawak sejak awal tahun ini.

"Bukan itu sahaja, Datuk Hamid turut berjaya melancarkan Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023 - 2033.

"Ia bakal dijadikan landasan buat APMM bagi menjadi Pusat Kecemerlangan Serantau dalam Penguatkuasaan maritim, carilamat (mencari dan menyelamat), dan batuan bencana.

"Kejayaan yang disenaraikan adalah antara usaha berpasukan yang telah digemblengkan beliau ketika memegang jawatan nombor satu di dalam agensi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:02 PM