Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus (kanan) bercakap dengan anak kapal KM Semilang yang akan berpindah ke Zon Maritim Tanjung Manis di KOMTAS Muara Tebas, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus (kanan) bercakap dengan anak kapal KM Semilang yang akan berpindah ke Zon Maritim Tanjung Manis di KOMTAS Muara Tebas, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak diperkukuhkan dengan aset terbaharunya, Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) yang dijangka diterima tahun ini.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, OPV pertama itu, KM Tun Fatimah akan menjadi kapal induk yang membolehkan operasi dilaksanakan lebih lama bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal perairan Sarawak khususnya di Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan.

Beliau berkata, kapal berkenaan sepatutnya sudah diterima namun berikutan pandemik Covid-19, kerja-kerja untuk menyiapkannya terganggu seketika dan pihaknya dijangka menerimanya antara April hingga Jun tahun ini.

"Ada tiga sebenarnya kapal OPV yang sedang dalam pembinaan itu dan salah satu daripadanya adalah untuk meningkatkan keupayaan APMM di Sarawak.

"APMM sudah lama merancang untuk menempatkan kapal OPV di Sarawak kerana ia akan menjadi kapal induk bagi membantu operasi yang kita fokuskan di Beting Patinggi Ali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Maritim Malaysia Sarawak dan Perpindahan Kapal KM Semilang di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas, di sini, hari ini.

Kapal OPV berteknologi tinggi berukuran 83 meter panjang dan 13.7 meter lebar itu dilengkapi meriam, tapak pendaratan helikopter dan bot pemintas, berkeupayaan melaksanakan operasi dan rondaan di laut dalam tempoh sehingga sebulan.

Selain itu, kapal berkenaan yang boleh menempatkan 70 anak kapal turut dilengkapi radar berkeupayaan tinggi bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas dan tidak terkesan dengan cuaca hujan.

Mengenai perpindahan KM Semilang ke Zon Maritim Tanjung Manis, Zin Azman berkata, kapal berkenaan adalah aset tambahan untuk meningkatkan keupayaan mengawasi perairan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tengah Sarawak.

"Sebelum ini, Zon Maritim Tanjung Manis hanya memiliki sebuah bot pengawal, jadi dengan adanya kapal KM Semilang ini, keupayaan kawalan di zon berkenaan kini ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 11 bot nelayan asing dengan 97 anak kapal ditahan APMM Sarawak, tahun lalu dengan nilai rampasan sebanyak RM10 juta.

"Ketika ini tiada pencerobohan nelayan asing dan musim monsun timur laut serta pandemik Covid-19 dikenal pasti faktor utama membuatkan nelayan asing tidak dikesan di perairan Sarawak.

"Bagaimanapun, kami terus memperketatkan kawalan dan bersedia untuk mengekang pencerobohan nelayan asing kerana mereka dijangka akan kembali semula beberapa bulan lagi apabila keadaan monsun timur laut kembali reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 2:09 PM