AHMAD Puzi (dua dari kiri) menyempurnakan pemakaian Toha kepada anggota Maritim terpilih.
AHMAD Puzi (dua dari kiri) menyempurnakan pemakaian Toha kepada anggota Maritim terpilih.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kuala Kurau: Pembelian aset baru kapal peronda pantai (OPV) melalui peruntukan RM874 juta dalam Bajet 2016 dijangka bakal mengukuhkan pertahanan perairan negara di samping mempertingkatkan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tahun hadapan.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pemilihan pembelian kapal besar jenis OPV dilakukan selepas pihaknya mengambil kira keadaan semua aset sedia ada yang sudah lama dan berusia lebih 10 tahun.

“Berikutan itu, satu cadangan pembelian kapal besar jenis OPV yang mempunyai ketahanan terhadap cuaca buruk sudah diluluskan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dijangka akan diselesaikan tahun hadapan.

“Selain memiliki ketahanan terhadap cuaca buruk, kapal besar jenis OPV ini turut dilengkapi kemudahan pendaratan helikopter, pesawat pemintas dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

“Semua keupayaan yang terdapat dalam kapal besar jenis OPV ini penting dalam memastikan APMM dapat melaksanakan kerja pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang perairan negara dengan lebih berkesan dan selamat,” katanya pada sidang media selepas melawat Pangkalan APMM Kuala Kurau, kelmarin.

Ahmad Puzi berkata, setakat ini, APMM masih belum memutuskan bilangan kuantiti aset OPV yang akan dibeli berikutan kos pembelian bagi kapal itu dianggarkan bernilai RM300 juta sebuah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, APMM akan memastikan pembelian aset OPV dilakukan dengan mengambil kira kualiti terbaik dengan harga bersesuaian bagi membolehkan lebih banyak unit kapal itu diperoleh.

“Keperluan pembelian aset OPV dibuat setelah mengambil kira kejadian kebakaran membabitkan sebuah pelantar minyak, baru-baru ini, apabila misi menyelamat mangsa yang tercampak ke dalam laut menjadi sukar apabila keadaan cuaca menjadi amat buruk.

“Justeru, pembelian OPV ini penting untuk misi menyelamat terutama ketika cuaca buruk di samping perlu mempunyai kombinasi semua kemudahan pendaratan pesawat demi kelancaran operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 8:25 AM