PENDUDUK di Kampung Naman Teran di Karo, Sumatera Utara, membersihkan kediamannya yang terjejas akibat letusan Gunung Sinabung, kelmarin. FOTO AFP
PENDUDUK di Kampung Naman Teran di Karo, Sumatera Utara, membersihkan kediamannya yang terjejas akibat letusan Gunung Sinabung, kelmarin. FOTO AFP
Zaid Salim


LETUSAN gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia pagi kelmarin, tidak menjejaskan kualiti udara negeri ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu Rosli Zakaria berkata, berdasarkan laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kualiti udara di negeri ini berada pada paras sederhana.

"Bacaan IPU menunjukkan kualiti udara di negeri ini sehingga kini masih dalam keadaan biasa iaitu antara 50 hingga 60.

"Justeru, sebarang bentuk aktiviti boleh dijalankan seperti biasa," katanya dihubungi hari ini.

Menurut Rosli, setakat ini, IPU di negeri ini menunjukkan ruang udara Kemaman mencatat paras 60 manakala ruang udara di daerah lain di negeri berada pada paras bawah 60.

Gunung berapi setinggi 2,475 meter yang terletak di daerah Karo itu meletus selama sejam 44 minit dengan menghamburkan debu sehingga mencapai ketinggian dua kilometer (km).

Kali terakhir gunung berapi itu meletus adalah pada Jun 2019 yang mana ia menghamburkan debu setinggi tujuh kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:36 PM