PAPAN maklumat yang memaklumkan pembatalan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
PAPAN maklumat yang memaklumkan pembatalan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Hakimi Suria Kencana


Sepang: Pembatalan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 serta Terminal 2 sesak dengan kehadiran penumpang yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung penerbangan mereka.

Tinjauan Harian Metro di KLIA Terminal 1 mendapati, terdapat beberapa barisan panjang sehingga ke pintu masuk utama Balai Pelepasan berikutan penumpang beratur ke kaunter syarikat penerbangan.

Difahamkan, Balai Pelepasan di KLIA Terminal 1 mulai sesak sejak kira-kira jam 12 tengah hari tadi, dengan anggota polis bantuan dilihat melakukan pemantauan serta kawalan keselamatan.

Sementara itu, di Balai Pelepasan KLIA Terminal 2 pula mendapati, terdapat beberapa barisan panjang di kaunter daftar masuk di Bahagian T membabitkan penumpang terjejas yang mahu mendapatkan maklumat lanjut penerbangan mereka.

Terdahulu, media melaporkan, syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah serta Sarawak, hari ini, susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.

Sebanyak 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur serta lapan penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan oleh Malaysia Airlines, hari ini.

AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Rakaman menunjukkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung dan ia dipantulkan di permukaan air serta asap kelabu berkepul di atas kawahnya.

Pulau Ruang adalah rumah kepada 838 penduduk dengan kebanyakan mereka dipindahkan ke Pulau Tagulandang terdekat.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dengan kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:35 PM