ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan tulang yang dipercayai rangka manusia di kuarters perumahan guru terbiar.
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan tulang yang dipercayai rangka manusia di kuarters perumahan guru terbiar.
Juwan Riduan


Beaufort: Beberapa bahagian tulang yang dipercayai rangka manusia ditemui di bilik di kuarters perumahan guru terbiar di Membakut, di sini, semalam.

Rangka manusia berkenaan ditemui kira-kira 9 pagi oleh dua pekerja yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan bangunan yang dikatakan terbiar sejak lima tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort, Asisten Superintenden Weddrin Mojingkin berkata, hasil siasatan mendapati, rangka manusia itu berada dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian.

Bagaimanapun katanya, badan rangka berkenaan terpisah dengan tengkorak.

"Tempoh kematian dianggarkan sudah lama berdasarkan keadaan mayat yang hanya tinggal tulang.

"Tempat ini juga sudah lama ditinggalkan kosong tanpa penghuni sejak kira-kira lima tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Weddrin berkata, siasatan lanjut juga menemui satu wayar putih tersimpul bulat yang tergantung di atas kipas di bilik berkenaan.

Katanya, polis turut menemui kerusi plastik yang rebah berhampiran dengan kedudukan mayat berkenaan.

"Setakat ini, identiti mayat masih belum dikenal pasti dan polis tidak menemui sebarang kesan perbuatan jenayah yang di tempat penemuan.

"Kertas siasatan dibuka dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut berdasarkan siasatan lokasi kejadian," katanya.

Weddrin berkata, semua tulang berkenaan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca sebenar kematian.

Katanya, usaha mencari orang awam yang kehilangan ahli keluarga juga sedang giat dilakukan.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus di Polis Balai Membakut bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:30 PM