LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


POLIS mengesahkan tulang manusia yang ditemui di kawasan hutan ladang getah terbiar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Sepang, semalam, milik wanita.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi hari ini berkata, mangsa yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun juga dipercayai dibunuh.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menyerahkan DNA (asid deoksiribonukleik) kepada Jabatan Kimia untuk pemeriksaan dan pengesahan.

“Pada masa sama, kami juga akan mencari identiti mangsa menerusi pangkalan data laporan kes orang hilang,” katanya.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, seorang juruukur yang sedang melakukan kerja pengukuran tanah terkejut apabila menemui tulang manusia.

Turut ditemui selipar, pakaian, bantal selain beberapa tulang yang besar yang dibalut dengan selimut.

Selain itu, beberapa barangan lain turut ditemui di lokasi kejadian termasuk sebentuk cincin, sehelai jaket berwarna gelap, gelang tangan, tali pengikat rambut, seluar dalam, baju dalam dan sehelai selimut.

Aziz sebelum ini mengesahkan mangsa dipercayai seorang wanita dan berkemungkinan mayat mangsa ditinggalkan di lokasi berkenaan kira-kira setahun yang lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes ini, Asisten Superintendan Wan Azirul 0387774222 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.

Berita berkaitan

‘Terkejut jumpa rangka wanita’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:41 PM