JAMALUDDIN Shah keluar selepas sesi pendengaran awam RCI penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. FOTO Mohd Fadli Hamzah
JAMALUDDIN Shah keluar selepas sesi pendengaran awam RCI penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suraya Roslan


SAKSI ketujuh pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan menemui 20 struktur tanah berbentuk kubur dan enam rangka manusia terbiar dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan di Bukit Wang Burma, Perlis, 15 Ogos 2015.

Asisten Superintendan Jamaluddin Shah Mohd Jawan yang ketika itu bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar, Perlis berkata, rangka itu ditemui dalam keadaan tulang berselerakan atas pelantar kem yang diperbuat daripada kanvas dan kayu serta dipagar dawai kawat.

“Kem berkenaan terletak di Bukit Wang Burma, kira-kira 50 meter dari batu sempadan Malaysia-Thailand dan sejam berjalan dari kem Wang Kelian.

“Selepas penemuan enam rangka dan 20 kubur berkenaan, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Kontinjen Perlis,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan forensik mendapati 20 kubur berkenaan mengandungi mayat.

“Sebelum penemuan Kem Bukit Wang Burma pada Mac 2015, pemeriksaan susulan di dua lagi lokasi iaitu Genting Perah dan Taman Negara Negeri Perlis menemui 18 kem kecil.

“Pemeriksaan susulan berkenaan dilakukan oleh Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Cawangan Khas IPD Padang Besar bersama 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemeriksaan susulan dilakukan bagi memastikan tiada kawasan terlepas daripada pemeriksaan dalam mencari saki-baki kem,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penemuan tiga buku nota berwarna biru tua bersaiz A4 yang dua daripadanya bertulisan Thailand, satu keping kad UNHCR dan satu pasport Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 4:09 PM