AHMAD Zaini (kanan) berbincang dengan Ahmad Sabirin (kiri) sambil diperhatikan Farrah Naz (dua dari kanan), Husain (tiga dari kanan) dan Thilinadan (empat dari kanan) ketika majlis kunjung hormat Sirim ke Balai Berita NSTP Bangsar.  FOTO Ikhwan Munir
AHMAD Zaini (kanan) berbincang dengan Ahmad Sabirin (kiri) sambil diperhatikan Farrah Naz (dua dari kanan), Husain (tiga dari kanan) dan Thilinadan (empat dari kanan) ketika majlis kunjung hormat Sirim ke Balai Berita NSTP Bangsar. FOTO Ikhwan Munir
Sudirman Mohd Tahir dan Siti Norhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) sentiasa prihatin dengan keperluan menjaga keselamatan makanan bagi kepentingan pengguna di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, perkara itu selari dengan objektif utama mereka untuk mempromosikan keselamatan kepada pengguna.

"Di Sirim kami juga mempunyai sains hayat yang mana turut menjalankan ujian vaksin perubatan khas untuk Covid-19.

"Peralatan kami digunakan bagi menjalankan penyelidikan untuk pelbagai perkembangan baharu termasuk untuk latihan, pengukuran dan timbang. Ini kerana, kami juga pemegang akta bagi timbang dan berat, jadi setiap timbang dan berat itu kami pastikan pengguna tidak ditipu pada akhirnya.

"Kami juga mahu melihat perniagaan yang dijalankan rakyat Malaysia secara umum yang pendapatan mereka akan meningkat dengan penggunaan teknologi, Di sinilah kami bergerak ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan ke atas pengurusan tertinggi New Straits Times Press (Malaysia) Berhad di Balai Berita di sini, hari ini.

Delegasi Kumpulan Sirim disambut oleh Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim, Pengarang Kumpulan HM, Husain Jahit dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan.

Ahmad Sabirin berkata, menerusi kunjungan itu pihaknya berharap Sirim dan media dapat menjadi rakan kongsi yang kuat sekali gus boleh mempromosikan perkhidmatan dan produk Sirim melalui media.

"Pengaruh media ini meluas dan merangkumi setiap platform. Jadi, kami ingin memastikan semua orang di Malaysia dapat mengetahui teknologi dan keselamatan terkini, pembangunan baharu dan apakah keupayaan yang boleh Malaysia lakukan pada masa akan datang," katanya.

Menyentuh mengenai teknologi pengecas kenderaan elektrik (EV), beliau berkata, masih banyak syarikat penyedia stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) yang menyediakan perkhidmatan mereka di negara ini belum tampil memohon kelulusan daripada Sirim dalam memastikan peralatan digunakan selamat dan boleh dipercayai.

Menurutnya, walaupun bukan mandatori, namun pihaknya menasihatkan syarikat berkenaan untuk membuat permohonan terlebih dulu supaya peralatan yang digunakan untuk stesen pengecas EV diuji bagi tujuan keselamatan.

"Sebenarnya, Sirim dalam ekosistem EV mempunyai peranan yang amat penting. Kita akan memberi (kelulusan) sebelum (pembinaan) sebarang infrastruktur EV seperti stesen pengecas EV dan EV yang masuk ke Malaysia.

"Ia mesti mendapatkan satu kelulusan contohnya dari segi reka bentuk oleh agensi di bawah Sirim. Selepas itu, ia mesti diuji dan disahkan oleh Sirim untuk memastikan bateri yang menjadi komponen penting buat kenderaan selamat digunakan.

"Apa yang penting adalah kita hendak mengharmonikan penggunaan stesen pengecas (EV) itu dari Singapura sampai ke negara Asia Tenggara (yang lain) dengan menggunakan (sistem) pengecasan yang sama. Maksudnya, anda boleh memandu EV ke mana-mana saja dan boleh cas EV di mana-mana juga.

"Memang sekarang ini ada kepelbagaian (EV). Ada Tesla, BYD, Cherry dan Volvo tetapi kita nak pastikan semuanya mempunyai satu standard yang ditetapkan oleh badan antarabangsa serta perlu mematuhi standard. Kita juga nak pastikan pengguna di jalan raya selamat menggunakan EV masing-masing" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 4:11 PM