GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Sibu: Gara-gara menjalinkan cinta dengan isteri orang, seorang lelaki cedera dibelasah suami wanita itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada mangsa berusia 24 tahun pada jam 10.29 malam, 14 April lalu.

"Satu laporan diterima daripada lelaki warga tempatan mengatakan pada tarikh sama sekitar jam 5 petang ketika menunggu bas di Jalan Pahlawan, di sini, dia didatangi tiga lelaki tidak dikenali lalu terus menyerangnya.

"Mangsa dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda menuju ke sebuah rumah di Jalan Sentosa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat awam, pada tarikh sama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya menangkap seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 18 April ini. Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa keluar dengan isteri suspek.

"Disebabkan rasa marah, suspek bersama tiga lagi rakan yang masih bebas bertindak memukul mangsa dan mengugut supaya tidak mengganggu isterinya lagi," katanya.

Terdahulu, tular video di Facebook merakam sekumpulan lelaki dilihat menyerang mangsa di hadapan sebuah kedai kopi berhampiran Terminal Bas di Jalan Pahlawan, Ahad lalu.

Difahamkan, isteri suspek mengenali mangsa sejak Disember tahun lalu melalui TikTok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:29 AM