GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Tindakan sekumpulan remaja membuat bising menggunakan motosikal yang diubah suai ekzos di sebuah kawasan perumahan di sini mengundang padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tindakan remaja yang dilakukan pada awal pagi Syawal itu dikesan mengganggu penduduk sekitar.

"Rentetan aduan yang diterima, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang Jaya kemudiannya menjalankan operasi bermula 12 tengah malam sehingga 4 pagi di lokasi terbabit.

"Susulan itu, sebanyak 12 motosikal disita dan pemeriksaan mendapati terdapat pengubahsuaian dilakukan pada bahagian ekzos serta komponen lain," katanya dalam kenyataan, hari ini

Katanya, polis turut mengeluarkan 67 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik.

"Polis mengingatkan agar masyarakat melakukan aktiviti berfaedah dan tidak mengganggu ketenteraman masyarakat.

"Sentiasa utamakan keselamatan diri serta warga sekitar tanpa melakukan perbuatan yang menyalahi peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 11:35 PM