OPERASI Risikan Samseng Jalanan di sekitar Bukit Tinjau. FOTO Ihsan Polis
OPERASI Risikan Samseng Jalanan di sekitar Bukit Tinjau. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Tiga remaja yang menunggang motosikal diubah suai dan menggunakan ekzos 'perang' ditahan dalam Operasi Risikan Samseng Jalanan di sekitar kawasan Bukit Tinjau di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga remaja lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Operasi dijalankan mendapati motosikal yang ditunggang tiga remaja itu diubah suai pada pelbagai bahagian komponen.

"Semua mereka bersama motosikal yang ditunggang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk proses dokumentasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, operasi yang dijalankan turut mengeluarkan sebanyak 17 saman atas pelbagai kesalahan.

"Motosikal yang ditahan turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, semua pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal diingatkan supaya menunggang secara berhemah dan cermat serta tidak mengubahsuai sebarang struktur sedia ada.

"Ini bagi mengelakkan dari berlakunya perkara yang tidak diingini sekiranya pengubahsuaian dilakukan.

"Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 4:31 PM