Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Tujuh motosikal disita selepas didapati membuat pengubahsuaian ekzos dalam Operasi Khas Kesalahan Bunyi Bising di Jalan Ampang di sini, hari ini.

Operasi bersepadu yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijalankan selama tiga jam bermula 9 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, operasi dilakukan bagi mengesan kenderaan yang melakukan pengubahsuaian ekzos dan kesalahan lalu lintas lain.

"Sebanyak 92 saman dikeluarkan membabitkan 101 kesalahan trafik termasuk dua waran tangkap.

"Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh motosikal disita bagi tujuan ujian pengesanan bunyi bising oleh pihak JAS," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyertai operasi berkenaan hari ini.

Selain itu, Mohd Azam berkata, tujuh lelaki berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dan opiate manakala 67 notis kesalahan dikeluarkan JPJ.

Beliau berkata, sepanjang operasi yang bermula 1 Mac sehingga hari ini pihaknya sudah mengeluarkan 1,406 saman membabitkan 1,586 kesalahan trafik termasuk 134 mengubah suai ekzos.

Tambah beliau, bagi tempoh sama juga, tiga individu ditahan kerana memiliki waran tangkap atas kesalahan trafik, manakala tujuh individu ditahan atas kesalahan dadah dan JPJ mengeluarkan 55 notis.

"Polis sering menerima aduan daripada orang awam mengenai bunyi bising ekzos kenderaan terutamanya di kawasan perumahan.

"Justeru, saya menasihati orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya khususnya pemilik motosikal supaya tidak mengubah suai ekzos yang mengeluarkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman masyarakat," katanya.

Katanya, operasi bersepadu sedemikian akan diteruskan bagi mencegah kesalahan lalu lintas dan memastikan orang ramai mematuhi undang-undang ditetapkan.

ANGGOTA JAS melakukan ujian bunyi ekzos ke atas motosikal di Jalan Ampang. FOTO Aswadi Alias
ANGGOTA JAS melakukan ujian bunyi ekzos ke atas motosikal di Jalan Ampang. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 1:06 PM