SEBAHAGIAN remaja belasan tahun dipercayai penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan polis kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal di sekitar Kodiang. FOTO ihsan PDRM
SEBAHAGIAN remaja belasan tahun dipercayai penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan polis kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal di sekitar Kodiang. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Selain motosikal disita, sembilan remaja terpaksa dijemput oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing di balai polis selepas ditahan dalam Op Motosikal yang dijalankan di sekitar Kodiang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang membuat bising dan mengganggu ketenteraman penduduk.

Katanya, sehubungan itu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang diketuai Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud melakukan Op Motosikal di Jalan Kampung Melele dan Jalan Kampung Padang Sera (Jalan Jitra-Kodiang) pada jam 10 malam.

"92 remaja lelaki berusia antara 13 hingga 18 tahun diperiksa dan sembilan dibawa ke IPD Kubang Pasu sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.

"Sebanyak 86 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti nombor pendaftaran, cermin sisi (10), tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada insuran, tidak memakai topi keledar dan ubah suai motosikal," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kebanyakan motosikal terbabit dipercayai diubah suai di bahagian ekzos sehingga menyebabkan bunyi bising.

"Operasi yang turut dibantu anggota Balai Polis Air Hitam dan Balai Polis Kodiang itu berakhir pada jam 2 pagi," katanya.

Rodzi menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing untuk mengelakkan mereka terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan jika tidak mematuhi undang-undang serta akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa di kawasan tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 12:02 PM