Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Tanggal 31 Disember 1977 menjadi titik sejarah yang dikenang seumur hidup bagi pesara polis, Yaacob Daud, 74, kerana pada hari itulah dia kehilangan kaki kanannya yang putus hingga ke bahagian betis akibat terpijak jerangkap samar.

Mengimbas kembali kejadian itu, Yaacob yang jawatan akhirnya adalah Lans Koperal berkata, pada ketika itu dia berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) bersama satu batalion seramai 32 anggota terbabit dalam Op Kota Echo untuk menjejaki komunis.

Katanya, kira-kira 10 pagi, dia bersama tiga anggota ditugaskan untuk meninjau di sekitar kawasan Sungai Bedil bagi tujuan memasang khemah untuk bermalam di kawasan berkenaan sebelum meneruskan perjalanan untuk menjejaki komunis.

"Bagaimanapun, saya yang ketika itu berada di hadapan sudah ditembak di bahagian sebelah kiri perut oleh pengganas komunis apabila mereka menyedari kehadiran kami.

"Lebih malang lagi, dalam keadaan kelam kabut, kaki sebelah kanan saya juga sudah terpijak jerangkap samar yang ditanam oleh musuh dan selama lima minit saya cuba bertahan dan apabila kaki diangkat ia terus meletup menyebabkan saya terpelanting sehingga menyebabkan kaki kanan hancur dan putus.

"Pada ketika itu, tidak dapat digambarkan betapa sukarnya saya dalam keadaan cedera mahu keluar dari medan perang selain perlu menahan kesakitan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kecil, Melor, di sini, hari ini.

Yaacob berkata, selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan komunis dan juga jerangkap samar, kira-kira 12 tengah hari pada hari yang sama dia diterbangkan ke hospital selepas dihubungi oleh pegawai penyiasat batalion untuk mendapatkan bantuan.

"Setibanya di Hospital Ipoh, Perak, doktor yang merawat saya pada ketika itu melakukan pembedahan segera dan disebabkan kecederaan teruk, kaki kanan saya terpaksa dipotong hingga paras bawah lutut bagi membuang serpihan tulang selain mengelakkan jangkitan kuman.

"Selama dua bulan saya dirawat di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani rawatan susulan sehingga mendapat kaki palsu.

"Sepanjang menjalani proses pemulihan, isteri, Nafisah Awang Teh, 71, banyak memberi sokongan dan sentiasa ada bersama. Apa yang berlaku di anggap takdir yang sudah tertulis, namun berasa sedih kerana selepas insiden itu, saya tidak dapat lagi menyertai operasi bersama rakan lain," katanya.

YAACOB menunjukkan kaki kanannya yang terputus akibat terkena jerangkap samar dalam Op Kota Echo untuk menjejaki komunis pada tahun 1977. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
YAACOB menunjukkan kaki kanannya yang terputus akibat terkena jerangkap samar dalam Op Kota Echo untuk menjejaki komunis pada tahun 1977. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Bapa kepada tujuh anak berusia antara 30 hingga 51 tahun ini berkata, untuk membolehkan generasi hari ini tidur lena, pasukan keselamatan dahulu terpaksa menggadai nyawa di dalam hutan.

Operasi di hutan waktu itu amat sukar dan bahaya, ada yang ditembak pengganas komunis dan ada yang terpijak jerangkap samar.

"Walaupun tiada jaminan untuk kami pulang dalam keadaan selamat setiap kali menyertai operasi, kami tetap memilih untuk berjuang demi bangsa, agama dan negara.

"Meskipun saya terpaksa memakai kaki palsu, namun kerana cinta akan negara, tidak pernah timbul rasa menyesal mengorbankan diri demi memastikan negara bebas daripada cengkaman pengganas komunis.

"Generasi muda sekarang seharusnya lebih menjaga dan sayangkan negara kerana usaha mencapai kemerdekaan serta mempertahankan keamanan negara bukan mudah.

"Saya juga berterima kasih kepada rakan seperjuangan dahulu yang tidak pernah gentar dalam menjalankan tugas demi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 8:47 AM