Mohd Amin Jalil

Seremban: Peristiwa terkena serpihan bom dibaling individu upahan komunis hingga menyebabkan kecacatan kekal pada kaki kiri

sukar dilupakan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohd Dairubi Mustakim, 71.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, 3 September 1975 di Kem Briged Tengah PPH, Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur.

Katanya, dia bersama sepasukan anggota PPH sedang berbaris selepas selesai melakukan operasi menjaga sempadan Malaysia-Thailand.

"Perbarisan itu diadakan bagi upacara serah menyerah tugas. Ketika perbarisan itu baru bermula, kumpulan kami diserang dan dibaling bom dari jarak kira-kira 10 meter oleh dua individu tidak dikenali dipercayai kumpulan komunis.

"Ketika kejadian itu, bom berkenaan meletup dan mengenai kumpulan kami dan tiga kompeni yang lain.

"Akibat letupan bom itu, saya mengalami kecederaan teruk di bahagian kaki kiri dari paras lutut dan pengsan," katanya ketika ditemui dalam majlis meraikan sempena sambutan Hari Polis Ke-214 di rumahnya di Taman Panchor Jaya, di sini, tadi.

Bekas anggota PPH skuad 1969 itu berkata, akibat kejadian itu dia dirawat selama hampir dua bulan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Mohd Dairubi berkata, seramai 18 anggota platunnya mengalami kecederaan parah akibat terkena serpihan bom berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan dua rakannya daripada kompeni C, meninggal dunia selepas bom berkenaan terkena di bahagian dada dan leher, manakala ramai lagi yang lain mengalami kecederaan parah.

"Empat biji bom dibaling oleh individu itu ke arah platun yang sedang berbaris sehingga menimbulkan letupan yang kuat, malah serpihan bom itu mengenai tingkat 14 bangunan berhampiran.

"Kami percaya kumpulan komunis atau mungkin upahan mereka memburu kami sehingga ke kawasan kem," katanya.

Bapa kepada lima orang anak ini berkata, akibat daripada tragedi itu, dia mengalami kecacatan kekal di bahagian kaki kiri.

Menurutnya, dia kini turut mengalami penyakit saraf yang serius di bahagian kaki sehingga membataskan pergerakan hariannya.

"Kejadian itu tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat, namun apa natijah yang kita peroleh dari peristiwa itu ialah keganasan komunis amat kejam," katanya yang kali terakhir berkhidmat di Balai Polis Pantai Seremban dengan memakai pangkat sarjan.

Mohd Dairubi Mustakim menunjukkan beret yang menjadi kenangannya ketika berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Dairubi Mustakim menunjukkan beret yang menjadi kenangannya ketika berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan. FOTO MOHD AMIN JALIL

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:25 PM