Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Biarpun sudah lebih 50 tahun berlalu, peristiwa pertempuran pasukan keselamatan dengan pengganas komunis masih kekal sebagai antara sejarah negara yang membawa kepada keamanan dan keharmonian dikecapi Malaysia sehingga kini.

Di sebalik kejayaan itu, ramai yang tidak tahu ada wira tak didendang dalam kalangan veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit misi bantuan dan menyelamatkan anggota tentera dari kawasan komunis menggunakan helikopter Nuri.

Demi tugas pada negara yang ketika itu berhadapan ancaman komunis, mereka juga perlu fokus kepada amanah untuk memastikan misi menangani komunis berjaya.

Bekas anggota TUDM, Mohsain Hashim, 73, berkata, pengalaman berhadapan detik cemas helikopter Nuri dinaiki ditembak komunis ketika terbabit dalam Ops Selamat Sawadee pada 1977 masih tersemat dalam ingatannya.

Beliau yang ketika itu berusia 26 tahun tidak pernah sesekali dapat melupakan saat dirinya cedera terkena tembakan selepas helikopter membawanya dihujani peluru di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, semasa operasi itu beliau baru beberapa bulan bertugas di 3 Skuadron TUDM Butterwoth, Pulau Pinang sebaik menamatkan latihan asas pasukan udara di Pahang, dengan pangkat sarjan.

MOHSAIN  (kanan) ketika bertugas bersama kaptennya, Chong King Lay dan Mohd Johan Othman dalam Operasi Selamat Sawadee  di sempadan Malaysia-Thailand sekitar 1970-an. FOTO ihsan Mohsain
MOHSAIN (kanan) ketika bertugas bersama kaptennya, Chong King Lay dan Mohd Johan Othman dalam Operasi Selamat Sawadee di sempadan Malaysia-Thailand sekitar 1970-an. FOTO ihsan Mohsain

Beliau yang memulakan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1971 sebelum menyertai TUDM pada 1976, berdepan tiga insiden ditembak komunis yang menyebabkan dua anggota terkorban.

"Peristiwa pertama berlaku pada 17 Ogos 1978 ketika sedang membuat persiapan untuk berbuka puasa, kami menerima maklumat seorang anggota tentera cedera ditembak komunis di Kroh, Perak, dan kami diarahkan membawanya keluar.

"Kami segera bergerak ke lokasi dan ketika mahu melakukan pendaratan selepas memastikan kawasan itu selamat, kami dikejutkan dengan beberapa tembakan yang mengenai cermin dan badan helikopter.

"Seorang rakan setugas, Lans Koperal Ismail Ahmad yang berada di dalam helikopter turut terkena tembakan. Ismail yang cedera parah di perut dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohsain berkata, insiden kedua berlaku pada 31 Oktober 1978 ketika pasukannya ditugaskan menghantar bekalan di sempadan Perak sebelum helikopter dinaiki ditembak komunis ketika melakukan pendaratan.

MOHSAIN  (kiri) bersama dua kru Nuri FM1726 semasa bertugas di sempadan Malaysia-Thailand pada 1970-an. FOTO ihsan Mohsain
MOHSAIN (kiri) bersama dua kru Nuri FM1726 semasa bertugas di sempadan Malaysia-Thailand pada 1970-an. FOTO ihsan Mohsain

Beliau berkata, dalam kejadian itu seorang lagi rakan setugasnya cedera terkena tembakan di bahagian dada.

"Antara insiden sukar dilupakan pada 3 Mac 1979 apabila saya sendiri terkena tembakan di tangan kiri ketika membantu anggota tentera keluar dari kawasan komunis.

"Ketika saya sedang membawa seorang anggota keluar, dia ditembak mati di bahagian dahi. Saya segera mengangkatnya masuk ke dalam helikopter tanpa menyedari tangan saya juga cedera terkena tembakan," katanya.

Walaupun nyawa menjadi taruhan, anak kelahiran Negeri Sembilan itu mengakui tidak sedikit berasa gentar sebaliknya menaikkan lagi semangat beliau menentang musuh negara yang akhirnya membawa kepada peletakan senjata oleh komunis pada 1989.

Akibat keberanian itu, beliau pernah dianugerahkan Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1979.

Menurutnya selepas selesai operasi berkenaan, beliau terbabit dengan beberapa lagi operasi lain bersama pesawat pengangkut C-130 milik TUDM.

Pada akhir perkhidmatannya, Mohsain bertugas di TUDM Kuala Lumpur sehingga 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 8:01 AM