MD SATAR bersama isterinya, Norliha Abd Ramin melihat gambar yang menjadi kenangan mereka. FOTO MOHD AMIN JALIL.
MD SATAR bersama isterinya, Norliha Abd Ramin melihat gambar yang menjadi kenangan mereka. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


PENGALAMAN menyertai lebih 15 operasi membanteras komunis di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1970-an ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH), sukar dilupakan buat bekas pesara polis, Md Satar Md Top, 65.

Beliau yang ketika itu bertugas di Batalion Ketiga PPH Ipoh Perak, berkata antara operasi itu termasuk di kawasan Hulu Perak, Hulu Kelantan, mengawal pos kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam Kedah, operasi mencegah penyeludupan dan menjaga pos kawalan di sempadan Perlis.

Katanya, detik paling sukar dilupakan adalah ketika memburu saki baki komunis dalam operasi 792 Alpha di kawasan sempadan Thailand dekat Padang Besar, Perlis.

"Dalam operasi itu, saya bersama dua lagi rakan terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis hingga mengakibatkan saya mengalami kecederaan parah di bahagian mata kiri, muka, perut dan paha.

"Kejadian itu berlaku pada 6 petang 20 Februari 1979, ketika saya bersama 10 anggota PPH sedang melakukan rondaan memburu saki baki komunis dalam hutan di sempadan Malaysia-Thailand," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Jaya Senawang, di Seremban.

Md Satar berkata, berbanding dua lagi rakan lain, kecederaan yang dialaminya lebih teruk apabila tercampak kira-kira tiga meter dari lokasi kejadian.

MD SATAR menunjukkan topi yang pernah digunakan ketika berkhdimat dalam PDRM. FOTO MOHD AMIN JALIL.
MD SATAR menunjukkan topi yang pernah digunakan ketika berkhdimat dalam PDRM. FOTO MOHD AMIN JALIL.

Menurutnya, anggota badannya berlumuran darah dan dia kemudiannya dibawa keluar dari kawasan kejadian oleh pasukan bantuan menggunakan helikoter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Saya terlantar selama lebih sebulan di Hospital Pulau Pinang, sebelum pulih dan kembali bertugas," katanya.

Bapa kepada empat orang anak berusia antara 20 hingga 32 tahun itu berkata, selepas dua bulan daripada peristiwa itu, beliau kembali menyertai beberapa operasi membanteras komunis.

"Sepanjang 10 tahun dengan pasukan PPH Batalion Ketiga itu dari 1976 sehingga 1985, banyak masa dihabiskan di dalam hutan," kata pesara yang berasal dari Muar Johor itu.

Md Satar berkata, mulai tahun 1986, beliau bertugas sebagai polis biasa dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Balai Polis Tanjong Ipoh Kuala Pilah sehingga bersara pada 12 Oktober 2015.

Beliau yang berkhidmat hampir 40 tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) akui peristiwa dalam operasi berkenaan tidak mungkin dilupakan dalam hidupnya.

"Peristiwa itu tidak mungkin dapat saya lupakan kerana kesan luka dan parut masih ada pada tubuh badan saya hingga sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 2:39 PM