TENGKU Hamzah pernah terkena badi mayat.
TENGKU Hamzah pernah terkena badi mayat.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Memikul mayat komunis secara bergilir-gilir yang terburai isi perut sejauh tiga kilometer adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Pegawai Waran II Tengku Hamzah Engku Husin, 76, sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Mengimbau kembali peristiwa itu, Tengku Hamzah berkata, ia berlaku pada tahun 1974 ketika dia bersama-sama anggota yang lain terbabit dalam operasi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Buloh, Keroh, Perak untuk menentang kumpulan komunis.

Katanya, pada ketika itu, dia ditempatkan dalam kompeni A yang terdiri daripada 12 anggota dan masuk ke dalam kawasan hutan serta pada jam 8 pagi membuat serangan hendap dan berlaku tembak-menembak dengan kumpulan komunis.

"Semasa pertempuran itu, pasukan kami dapat menembak tiga orang komunis dan membawa mereka keluar dari hutan untuk diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami bergilir-gilir memikul mayat mereka dan menempuh masa perjalanan selama dua jam di dalam hutan disebabkan keadaan yang berbukit bukau sebelum sampai ke jalan utama.

"Sepanjang perjalanan saya sedikit berasa agak gentar selain uniform yang dipakai turut dipenuhi dengan darah serta bau darahnya yang hanyir sehingga menusuk hidung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Tok Kambing.

TENGKU Hamzah (kiri) bersama rakan setugas ketika berkhidmat dalam RAMD.
TENGKU Hamzah (kiri) bersama rakan setugas ketika berkhidmat dalam RAMD.

Tengku Hamzah berkata, selepas pulang daripada operasi dia terkena gangguan mistik atau badi mayat selama dua minggu menyebabkan dia lenguh badan selain sukar melelapkan mata kerana sering dibayangi dengan keadaan mayat komunis itu.

"Bagi mengubati badi mayat, saya berjumpa dengan beberapa individu yang pakar dalam bidang perubatan Islam dan Alhamdulillah lama-kelamaan ia semakin berkurangan namun itu tidak bermakna saya sudah serik mengikuti operasi menentang komunis apabila diarahkan.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalamannya bertempur dengan komunis ketika menjalankan operasi sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1973 semasa membuat pertahanan dalam kubu di atas Bukit Berapit Air Panas, Perak.

"Bagaimanapun, pada jam 1 pagi kami diserang oleh sekumpulan pengganas komunis dan berlaku tembak menembak selama lima jam dan ketika itu juga ketua platun meminta bantuan tembakan meriam daripada Sungai Lalang.

"Semasa kejadian tembak menembak, seorang koperal yang menjaga general-purpose machine gun (GPMG) terkena tembakan musuh di lengan kanan dan saya berlari untuk mengambil alih tempatnya namun tiba-tiba kaki saya tersangkut pada akar pokok kayu sehingga rebah dan komunis menembak ke arah saya," katanya.

KINI hanya tinggal album gambar untuk Tengku Hamzah menelusuri pengalamannya dalam RAMD. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KINI hanya tinggal album gambar untuk Tengku Hamzah menelusuri pengalamannya dalam RAMD. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, dengan semangat pertempuran, dia kemudiannya merangkak sejauh 10 meter ke arah GPMG dan dalam masa sama, kedengaran bunyi tembakan meriam menuju ke sasaran pihak musuh dengan beberapa letupan sehingga komunis berhenti menyerang dan mengundur diri ke Betong, Thailand.

"Pada keesokan hari, kami membuat tinjauan ke tempat letupan peluru meriam dan menemui enam mayat pengganas komunis yang lengkap beruniform terbunuh dan kesemuanya diserahkan kepada PDRM.

"Bagaimanapun, saya terselamat dalam peperangan yang dianggap sengit itu," katanya.

Bapa kepada enam orang anak dan datuk 28 cucu ini berkata, pada tahun 1975 dia sekali lagi mengikuti Operasi Sri Aman di Sarawak dan berpengkalan di Simanggang.

TENGKU Hamzah menunjukkan antara pingat yang pernah diterimanya sewaktu berkhidmat 22 tahun dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
TENGKU Hamzah menunjukkan antara pingat yang pernah diterimanya sewaktu berkhidmat 22 tahun dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

"Dalam operasi itu, terdapat beberapa batalion termasuk Pasukan Polis Hutan (PPH) yang bersama kami mengepung kawasan yang diduduki pengganas komunis dan boleh dikatakan setiap hari kami dapat membunuh pihak musuh kerana mereka sudah tidak ada jalan keluar kerana sudah dikepung.

Bapa kepada enam orang anak dan datuk 28 cucu ini berkata, pada tahun 1975 dia sekali lagi mengikuti Operasi Sri Aman di Sarawak dan berpengkalan di Simanggang.

"Dalam operasi itu, terdapat beberapa batalion termasuk Pasukan Polis Hutan (PPH) yang bersama kami mengepung kawasan yang diduduki pengganas komunis dan boleh dikatakan setiap hari kami dapat membunuh pihak musuh kerana mereka sudah tidak ada jalan keluar kerana sudah dikepung.

"Disebabkan kawasan mereka sudah dikepung, seramai 400 orang pengganas komunis yang diketuai Boob Kee Chock keluar dan menyerah diri dan selepas itu tidak ada lagi ancaman komunis. Susulan penyerahan diri itu juga Pekan Simanggang ditukar nama kepada Pekan Sri Aman," katanya.

Tengku Hamzah berkata, mengikuti lebih 10 operasi menentang komunis sepanjang 22 tahun berkhidmat iaitu dari tahun 1968 sehingga bersara 1990 adalah pengalaman mengerikan dan dia bersyukur tiada lagi ancaman komunis.

"Selepas bersara, diberi kepercayaan untuk memegang jawatan dalam Ahli Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai Penguasa RELA Bersekutu sehingga 2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 7:00 AM