Datuk Seri Jalaluddin Alias menyerahkan replika cek kepada wakil usahawan  Mohd Yusoff Fauzi Ahmad Labib selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda di Bahau hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Datuk Seri Jalaluddin Alias menyerahkan replika cek kepada wakil usahawan Mohd Yusoff Fauzi Ahmad Labib selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda di Bahau hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyasarkan 2,000 hektar kebun getah tidak ditoreh milik pekebun kecil di negeri ini, dipulihkan tahun ini.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata jumlah yang disasarkan itu adalah daripada keseluruhan 15,000 hektar kebun getah terbiar di seluruh negeri ini.

Katanya pelbagai sebab menyebabkan kebun itu terbiar dan tidak ditoreh antaranya faktor daripada pekebun itu sendiri seperti sudah berusia.

"Risda sudah diarah untuk mengenal pasti kebun getah terbiar itudan menjelang akhir tahun ini kita mahu 2,000 hektar kebun getah terbiar itu dapat dipulih.

"Kita mahu usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat diselesaikan segera dan berharap pemulihan itutidak tergendala akibat pelbagai masalah dan akhirnya ia menemui kegagalan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda (KUR)@Ekspo Raya Jempol di Bahau hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor dan Pengarah Risda Negeri Sembilan Kamarulazizi Mat Zin.

Jalaluddin berkata pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan Risda bagi memulihkan kebun getah terbiar itu selain melaksanakan program berkaitan.

Katanya, berdasarkan rekod jika pemulihan itu dapat dilakukan dan kesemua kebun terbiar boleh ditoreh semula ia sekaligus akan meningkatkan peratusan kawasan penanaman getah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 7:00 PM