DATUK Mohd Salim Sharif ketika menerima suntik vaksin di Hospital Jempol hari ini. FOTO Abnor Hamizam
DATUK Mohd Salim Sharif ketika menerima suntik vaksin di Hospital Jempol hari ini. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kan melaksanakan rawatan semburan bagi mengatasi penyakit luruhan daun (pestalotiopsis) pokok getah yang dihadapi pekebun kecil kini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Sharif berkata ketika ini penyakit berkenaan menyerang tanaman pekebun kecil seluruh negara kecuali di Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

Katanya ia mula dikesan di Segamat, Johor pada 2017 dan menyebabkan keguguran daun antara 50 peratus sehingga 100 peratus.

"Penyakit luruhan daun itu membabitkan keluasan 15,282 hektar kebun getah milik 8,043 pekebun kecil Risda.

"Penyakit ini menjejaskan hasil pengeluaran susu getah dan perlu ditangani bagi mengelakkan ia berjangkit kepada pokok yang lain," katanya ditemui selepas program imunisasi di Hospital Jempol hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong Mustapha Nagoor dan Pengarah Hospital Jempol Dr Zul Iskandar Zainudin.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM15.7 juta bagi melaksanakan kerja pencegahan dan pengawal pestalotiopsis.

Katanya kerja pencegahan akan dilaksanakan pada awal bulan depan serta mengambil masa lebih kurang tiga bulan dan ia perlu dicegah sebelum merebak dan berjangkit kepada pokok lain.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim yang menerima suntikan vaksin pada program berkenaan berkata hanya 550 daripada 140,000 penduduk di daerah Jempol sudah berdaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi Mysejahtera.

Katanya orang ramai perlu mendaftar bagi memastikan matlamat imunisasi negara sebanyak 80 peratus dapat dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:36 PM